Pendakwah perlu memperkukuhkan media dakwah

 

KANGAR – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pendakwah perlu menggunakan pendekatan baharu yang bersesuaian dengan situasi semasa agar usaha dakwah mereka mudah diterima orang ramai.

Baginda bertitah pendakwah juga perlu memperkukuhkan media sendiri untuk menyebarkan maklumat yang benar tentang Islam.

“(Di samping itu) para pendakwah Islam juga perlu mengetepikan sebarang perbezaan dan bertindak secara bersama dalam membentuk perpaduan,” titah baginda ketika merasmikan Persidangan Dakwah Serantau anjuran Hidayah Centre Foundation (HCF) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi HCF Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs berkata, insiden keganasan yang sering berlaku membawa kepada peningkatan Islamophobia di dunia, bahkan di negara-negara di mana umat Islam adalah golongan minoriti.

“Pada ketika ini mungkin ada rasa putus asa dalam kalangan negara-negara Islam dan rakyat mereka terhadap masa depan umat Islam, namun begitu Allah telah berfirman tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri,” titah baginda.

Berhubung persidangan itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah ia memberikan peluang yang baik untuk berkongsi pengalaman, bertukar idea dan memperkukuhkan tali persaudaraan Islam antara semua kaum.

“Peserta dapat menyumbang dan berkongsi idea serta pemikiran mereka bagi merancang serta merangka pendekatan untuk kepentingan ummah,” titah baginda.

Persidangan yang julung kali diadakan itu disertai 228 peserta daripada 25 negara. – Bernama

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts