PORT DICKSON: Dalam kehidupan seharian umat Islam, penentuan waktu solat yang tepat tentunya menjadi perkara yang sangat penting kerana ia melibatkan keyakinan dan kesempurnaan dalam menunaikan ibadat solat serta puasa.
Menyedari kepentingan tersebut, seramai 41 orang terdiri daripada guru-guru pembimbing Kelab Falak di sekolah-sekolah di Negeri Sembilan menyertai Bengkel Pengiraan Waktu Solat.
Bengkel berkenaan dianjurkan buat pertama kalinya oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS).
Timbalan Mufti Negeri Sembilan, Amran Awaludin berkata, menerusi penganjuran bengkel tersebut, peserta didedahkan mengenai kaedah pengiraan waktu solat yang sistematik.
“Objektif bengkel ini dijalankan adalah bagi memberi bimbingan kepada guru-guru untuk mempelajari seterusnya mengajar kaedah dalam mengira waktu solat.
“Tunjuk ajar, kefahaman dan pengetahuan kepada guru pembimbing ini seterusnya akan digunakan oleh guru terbabit bagi mengendalikan pula kelab falak di sekolah masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Bengkel dua hari tersebut berakhir hari ini dan turut melibatkan peserta dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Sembilan.
Menurut Amran, waktu solat ditentukan berdasarkan dua kaedah iaitu kaedah cerapan dan kaedah hitungan.
“Kaedah cerapan adalah kaedah asas berdasarkan dalil nas iaitu waktu solat diketahui dengan memerhati perubahan nyata posisi matahari di atas ufuk (Zuhur atau Asar) atau perubahan cahaya langit disebabkan perubahan posisi matahari di bawah ufuk (Maghrib, Isyak, Subuh dan Syuruk).
“Kaedah hitungan adalah penggunaan data empirik pergerakan matahari bagi mendapatkan waktu yang sepadan dengan posisi matahari yang menjadi tanda awal waktu (dan akhir waktu) solat. Kaedah yang digunakan adalah melalui nilai sudut jam matahari ketika posisi matahari sepadan dengan waktu solat berkenaan,” jelas beliau. – UTUSAN
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM