MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri baru-baru ini menjelaskan bahawa pihak jabatan agama sepatutnya bukan sekadar menangkap golongan transgender yang melakukan kesalahan, bahkan mereka perlu untuk memberikan pendidikan buat golongan ini. Kenyataan ini seharusnya dipandang serius oleh semua pihak. Pendidikan terhadap transgender adalah keperluan yang paling utama. Islam bukan agama yang hanya menghukum. Islam pada hakikatnya sangat mengutamakan pendidikan dan kefahaman.
Pendekatan Rasulullah
Perhatikan bagaimana Rasulullah berinteraksi dengan golongan transgender, maknyah atau yang dipanggil pondan ini. Karya ulama silam mengesahkan golongan transgender wujud pada zaman Nabi lagi. Berdasarkan karya al-Imam Ibn Hajar, sekurang-kurangnya terdapat tiga orang lelaki yang berperwatakan wanita yang pernah disebutkan di dalam hadis. Mereka adalah Hit, Mati’ atau Anjashah. Sebahagian sarjana hadis merasakan bahawa Hit dan Mati’ adalah orang yang sama, tetapi menggunakan gelaran yang berbeza. Namun al-Imam al-Waqidi berpandangan mereka adalah dua individu yang berlainan. Hit adalah orang suruhan kepada Abdullah bin Abi Umayyah manakala Mati’ pula orang suruhan kepada Fakhitah. (Fath al-Bari)
Isteri Rasulullah dikatakan sangat menyantuni golongan ini. Mereka dilihat sebagai golongan yang memerlukan bantuan di zaman Rasulullah. Berdasarkan riwayat yang dinukilkan oleh al-Imam al-Auza’i, Rasulullah bertanya kepada isterinya mengapa golongan ini berada di dalam rumah Baginda. Lalu isterinya menjawab: “Wahai Rasulullah, sekiranya engkau usir dia sesungguhnya dia akan mati kelaparan. Maka Rasulullah membenarkan mukhannath ini datang setiap Jumaat dua kali, dia hanya datang meminta (makanan) dan kemudian pulang.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Perhatikan bagaimana Rasulullah menjaga hak asasi golongan ini. Keperluan makanan dan tempat perlindungan rakyat adalah perkara asas yang perlu dijaga oleh setiap pemimpin. Melalui dialog tersebut, Rasulullah seakan-akan memberikan ruang buat isteri Baginda untuk memberikan hak makanan kepada mereka ini. Begitu juga dengan hak pendidikan. Ia perkara yang asas yang mesti dikecapi oleh setiap warga termasuk golongan transgender. Kumpulan ini seharusnya diberikan didikan agama yang sempurna sebagai sistem sokongan dalam memahami agama ini.
Sediakan sistem sokongan
Bagi menjaga hak golongan transgender ini, Rasulullah turut menyediakan sistem sokongan yang membantu kehidupan mereka. Perkara ini boleh diperhatikan dalam interaksi Rasulullah bersama mereka. Rasulullah dilihat menyediakan ruang pekerjaan yang bersesuaian buat mereka. Menurut al-Imam al-Tabrani, Anjashah adalah seorang sahabat lelaki Rasulullah yang dilihat berperwatakan wanita. Al-Imam al-Tabrani menyifatkan beliau sebagai ‘minal mukhannathin’ (sebahagian daripada golongan mukhannath). Namun jika diperhatikan dalam hadis yang sahih, Rasulullah pernah memberikan tugas buat Ansjashah sebagai jurupandu unta buat isteri-isterinya. Malah, Rasulullah pernah menegur Anjashah agar memperlahankan unta yang ditunggangi isteri Nabi supaya tidak menyakiti mereka. (Hadis riwayat al-Bukhari)
Hadis ini memberikan kita gambaran bagaimana Rasulullah menyantuni golongan ini. Andai mereka memerlukan makanan, Rasulullah membenarkan isterinya untuk menyumbangkan makanan buat mereka. Andai mereka memerlukan pekerjaan, Rasulullah menyediakan pekerjaan yang diperlukan buat mereka. Inilah yang perlu dilaksanakan pada hari ini. Golongan ini perlu disantuni dengan sistem sokongan yang membantu mereka. Andai mereka terjebak dengan kegiatan pelacuran, maka agensi yang berwajib sebaiknya menyediakan ruang pekerjaan buat mereka bagi menyara hidup mereka. Andai mereka tidak faham mengenai Islam, maka kita perlu sediakan kursus dan bengkel pengajian khas buat mereka.
Perbetul kesalahan
Secara asasnya, Islam mengharamkan lelaki yang berusaha berperwatakan seperti wanita. Dalam hadis yang sahih, Rasulullah bukan saja memberikan penegasan terhadap larangan ini bahkan mengusir mereka dari Madinah. Ini sebagai salah satu proses pendidikan buat kita dan mereka. Kita seharusnya faham setiap perlakuan yang memberikan implikasi yang buruk terhadap masyarakat mestilah dicegah.
Dalam hadis yang sahih, Rasulullah dikatakan menghalau mukhannath (maknyah/transgender) bagi menjaga maslahah yang lebih utama iaitu memelihara komuniti Islam. Tindakan ini turut dilakukan Saidina Umar. Hukuman ini sebenarnya harus dilihat dari aspek pendidikan juga. Mereka yang berpotensi untuk memberikan pengaruh negatif kepada masyarakat boleh diasingkan supaya kita memelihara masyarakat daripada turut terpengaruh dengan perlakuan atau perbuatan mereka. Dari aspek pendidikannya, golongan ini seharusnya diberikan masa dan ruang yang berasingan agar kita berpeluang memberikan kefahaman atas tindakan ini. Ia untuk kebaikan bersama.- MyMetro
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)