KUALA TERENGGANU: Pengasingan lelaki dan wanita di kedai dandanan rambut dan kecantikan tetap dikuatkuasakan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Dr Alias Razak, berkata pengasingan jantina di semua premis berkenaan bukannya peraturan baharu, sebaliknya sudah digariskan pada syarat lesen.
Katanya, pengusaha kedai dandanan rambut serta kecantikan yang didapati bersalah melanggar syarat lesen boleh dikenakan denda antara RM500 dan RM1,000.
“Peraturan itu bukan saja dikuatkuasakan di premis diusahakan umat Islam, sebaliknya kepada pengusaha bukan Islam.
“Kedai dandanan rambut ditegah menyediakan perkhidmatan gunting rambut untuk golongan lelaki dan wanita dalam satu ruang sama,” katanya selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, semalam.
Dr Alias yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata demikian ketika mengulas desakan EXCO Wanita, Zuraida Md Noor yang menggesa syarat pelesenan kedai gunting dan dandanan rambut dilaksanakan bagi memastikan ia mematuhi hukum syarak dengan mengasingkan jantina.
Zuraida dilaporkan mengesahkan ada menerima aduan daripada masyarakat yang bimbang apabila ada antara kedai dandanan dan gunting rambut tidak mengasingkan lelaki dan wanita.
Mengulas lanjut, Dr Alias yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, pengusaha kedai gunting dan dandanan rambut diingatkan sentiasa mematuhi syarat lesen bagi mengelak dikenakan denda atau lesen perniagaan dibatalkan. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM