Pengembangan maqasid syariah harus dalam kerangka wahyu dan pandangan alam Islam

 

ILMU tentang maqasid syariah atau matlamat syariah, menurut Prof. Hashim Kamali walaupun penting adalah sesuatu yang agak dipinggirkan. Namun hari ini disebabkan beberapa faktor, ia mula mendapat perhatian terutama oleh mereka yang ingin mengetengahkan syariah Islam dalam bentuk yang lebih selari dengan tuntutan zaman.

Sekurang-kurangnya dua faktor yang membawa kepada kembalinya maqasid syariah dalam perbahasan ilmuwan Islam semasa; Pertama, semangat zaman yang menuntut setiap aliran pemikiran, sistem kepercayaan dan ideologi mempunyai asas rasional yang jelas terutama dalam mendepani cabaran modenisasi yang memartabatkan kemampuan akal manusia sebagai neraca kebenaran tertinggi. Bidang maqasid syariah, dari sudut ini amat serasi dengan semangat tersebut kerana ia berperanan menjelaskan dengan tersusun mengenai matlamat-matlamat tertinggi yang ingin dicapai oleh hukum-hakam dan sistem perundangan syariah yang lazimnya dikaitkan dengan kemutlakan asas sumber wahyu.

Faktor kedua ialah kemunculan aliran-aliran berpendekatan literal dalam melihat hukum Islam sehingga yang mengakibatkan timbulnya tafsiran yang sempit, ekstrem dan kadang kala radikal tentang agama. Pendekatan yang kadang­kala disebut dengan pendekatan shakli (formal) ini dilihat lebih menumpukan perincian dan zahir hukum sehingga menghilangkan gambaran besar syariah Islam. Pendekatan maqasidi sebaliknya lebih menyeluruh kerana ia menekankan tentang inti dan semangat keseluruhan syariah. Adalah tidak bijaksana, hujah pendukung pendekatan maqasidi, sekiranya sesuatu hukum dilaksanakan atas nama syariah akan tetapi tersasar daripada matlamat tertinggi syariah itu sendiri.

Dari sudut sejarah, kehadiran disiplin ilmu ini sebenarnya agak lewat berbanding disiplin ilmu-ilmu agama yang lain. Walaupun benih-benih perbahasan maqasid syariah sudah mula tumbuh dalam perbahasan ulama usul fiqh dan ilmu kalam abad ke-12 M seperti Imam Abu al-Ma’ali al-Juwayni (m.1185), Imam Abu Hamid al-Ghazali (m.1111) dan Saif al-Din al-Amidi (m.1234) khususnya dalam membincangkan persoalan maslahah (masalih mursalah) sebagai salah satu sumber hukum Islam, namun sebagai perbahasan yang tersusun dan tersendiri, maqasid syariah hanya muncul pada abad ke-14 melalui karya tulisan Imam al-Syatibi (m.1388) tokoh ulama Andalusia bermazhab Maliki, melalui karyanya al-Muwafaqat. Sementara kedudukannya diperkukuhkan lagi terutama menjelang abad ke-20 melalui tulisan Muhammad al-Tahir Ibn ‘Ashur (m.1973), tokoh ulama Tunisia dalam kar­yanya Maqasid al-Shari’ah al-Islamiyyah.

Apakah intipati perbahasan maqasid? Bidang ini pada dasarnya tertumpu kepada usaha mengenalpasti tujuan di sebalik hukum syariah sama ada menerusi penyataan me­ngenainya oleh al-Quran secara jelas atau melalui takwilan me­ngenai semangat hukum yang terdapat di sebalik mesej-mesej Qurani. Matlamat-matlamat kemudiannya ini disimpulkan dalam satu susunan keutamaan dan dijadikan kerangka besar dalam memandu kefahaman mengenai falsafah dan tujuan syariah secara keseluruhan.

Apakah pula matlamat paling asasi yang terkandung dalam syariah Islam? Para ulama dalam bidang maqasid telah mengenalpasti bahawa matlamat tertinggi yang ingin dicapai melalui hukum syariah ialah pemeliharaan kebaikan pada diri setiap insan (maslahah). Kemaslahatan ini akhirnya tertumpu kepada lima unsur utama (al-daruriyyat al-khamsah) yang ada pada diri manusia iaitu agamanya, nyawanya, akalnya, keturunannya (juga dikaitkan dengan maruah diri) dan hartanya.

Kelima-lima aspek ini pula dipelihara menurut tiga tahap keutamaan, daruriyyat (kewajiban asasi), hajiyyat (keperluan) dan tahsiniyyat (penyempurnaan). Sementara pelaksanaan hukum syariah bagi mencapai pemeliharaan tersebut adalah melalui dua pendekatan; pertama, dengan memperkukuhkan apa sahaja perkara yang membawa kepada pemeliharaan setiap lima unsur tersebut dan yang keduanya menolak apa sahaja perkara yang membawa kepada kemudaratan setiap unsur tersebut.

Dua pendekatan ini tercermin dalam hukum-hakam yang menyokong kelima-lima perkara tersebut seperti kewajipan berjihad dan menunaikan solat serta pengharaman riddah (pemeliharaan agama), kewajipan menjaga dan mempertahankan nyawa serta pengharaman membunuh tanpa hak (pemeliharaan nyawa), kewajipan mencari ilmu dan pengharaman arak (pemeliharaan akal), kewajipan nikah dan pengharaman zina (pemeliharaan keturunan) dan kewajipan menjaga harta dan pengharaman mencuri (pemeliharaan harta).

Disebabkan perkembangan zaman, terdapat kecenderu­ngan dalam kalangan ulama semasa untuk menambah bila­ngan matlamat asasi yang lima. Misalnya ada yang mema­sukkan keadilan, kebebasan dan hak asasi manusia dan hak wanita, pembinaan tamadun sebagai matlamat-matlamat syariah yang didakwa lebih mendekati semangat zaman moden.

Namun penambahan matlamat-matlamat ‘baharu’ dalam maqasid syariah juga menimbulkan perdebatan mengenai apakah asas yang digunakan untuk menentukan matlamat-matlamat tersebut. Pendekatan ulama awal dalam mengenalpasti matlamat berkenaan antaranya adalah berdasarkan had atau hukuman yang ditanzilkan oleh al-Quran. Misalnya lima asas yang menjadi daruriyyat kepada syariah ditentukan berdasarkan hukuman terhadap perkara yang merosakkan kemaslahatan lima perkara tersebut seperti hukuman murtad, qisas, sebat dan lain-lain. Dengan kata lain ia masih kuat berkait dengan sumber wahyu yang jelas.

Maka, apa-apa tambahan terhadap matlamat syariah haruslah tidak terlepas dari kerangka wahyu dan pandangan alam Islam yang sebenar. Kebimbangannya ialah dalam ke­ghairahan untuk meluaskan aplikasi maqasid syariah kepada matlamat-matlamat lain, ia juga bakal membuka pintu kepada sesuatu yang berlawanan dengan semangat agama Islam itu sendiri terutama apabila kerangka yang dipakai itu diambil dari pandangan alam yang agak asing dengan kerangka pandangan alam Islam.

Pastinya yang ingin dielakkan ialah maqasid syariah, yang pada asas dan asalnya merupakan bidang ilmu yang penting dan relevan dalam memandu kepada penyelesaian pelbagai isu semasa, berkemungkinan digunakan bagi tujuan yang tersasar.

DR. MOHD. FARID MOHD. SHAHRAN
Felo Utama/Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber: Utusan

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts