Penghormatan Malik kepada Rasulullah

  1. Membaca kisah kerinduan para salafussoleh terhadap Rasulullahﷺﷺ sangat meruntun jiwa. Mereka benar-benar merasai pengorbanan Rasulullahﷺ terhadap umatnya.
  2. Qadi Iyad meriwayatkan bagaimana al-Imam Malik dikatakan sering berubah warna wajahnya apabila membaca hadith Nabi. Betapa beliau memahami dan menghayati perjuangan Rasulullahﷺ sehingga setiap rangkap hadith yang dibaca membuatkan hatinya tersentuh.
  3. al-Imam Malik turut menceritakan pengalaman beliau bersama Muhammad ibn al-Munkadir, seorang ilmuan al-Quran di zaman tabi’in. Kata Malik:

لا نكاد نسألُه عن حديثٍ أبدًا إلا يبكي حتى نرحمه

“Hampir setiap kali kami bertanya kepada beliau (Muhammad ibn al-Mukadir) tentang hadith Nabi, beliau pasti akan menangis sehingga kami rasa kasihan (tersentuh). Begitu tinggi kecintaan dan kerinduan mereka kepada Rasulullahﷺ.

  1. Qadi Iyad turut menejelaskan bahawa al-Imam Malik tidak menunggang binatang di Madinah. Ini dilakukan kerana menghormati jasad Rasulullahﷺ yang dikebumikan di Madinah. Kata al-Imam Malik:

أستحي من الله أن أطأ تربة فيها رسول الله بحافر دابة

“Aku malu dengan Allah untuk memijak tanah yang disemadikan di dalamnya jasad Rasulullahﷺ dengan kuku binatang.” Betapa tinggi penghormatan yang diberikan al-Imam Malik kepada Rasulullahﷺ.

  1. Lihatlah betapa mereka menghayati perjuangan Rasulullahﷺ malah mencintai Rasulullahﷺ dengan seluruh jiwanya. Ingatkah kita firman Allah yang menyebutkan:

النبِي أَوْلَى بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنفُسِهِمْ

“Nabi itu lebih utama bagi orang mukminin dari dirinya sendiri”
Ketika menghuraikan ayat ini, al-Imam Ibn al-Qayyim menyebutkan bahawa: tidak sempurna keimanan seorang mukmin sehinggalah dia menjadikan Rasulullahﷺ orang yang paling dicintainya.

Moga Allah mengurniakan kita kecintaan kepada Rasulullahﷺ

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts