Keluasan ajaran Islam menjadikan prinsip maqasid (tujuan) syariah mencakupi pelbagai aktiviti pengurusan termasuk pengurusan orang kurang upaya (OKU).
Maqasid syariah menekankan matlamat sesuatu tindakan tanpa mengabaikan kaedah diambil dalam usaha memperoleh matlamat. Penekanan dalam pengurusan berasaskan maqasid syariah ialah pencapaian kebaikan dan penolakan kemudaratan melalui kaedah betul berpandukan wahyu sebagai teras, akal serta kajian empirikal.
Antara panduan dalam pengurusan OKU berpandukan maqasid syariah, meletakkan takwa sebagai asas pengukuran kemuliaan, bukannya perbezaan warna kulit, kesempurnaan fizikal atau unsur lain bersifat duniawi.
Islam juga menegah manusia menghina antara satu sama dengan sebab kekurangan atau kelebihan yang ada, selain perintah agar manusia agar sentiasa tolong menolong dalam perkara mendatangkan kebaikan.
Membantu OKU antara bentuk kebaikan bukan sahaja kepada golongan itu, malah kepada pihak membantu. Bagi OKU, pertolongan diberi dapat membantu mereka hidup lebih baik, manakala pihak memberikan bantuan pula, dijanjikan kebaikan dunia dan akhirat.
Di samping matlamat umum maqasid syariah itu, syarak juga menetapkan lima keperluan asasi perlu dijaga, iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta yang disebut daruriyyat al-khams.
Keutamaan dalam memenuhi kebaikan dan menolak kemudaratan pada kelima-lima penjagaan itu terbahagi kepada tiga peringkat, iaitu kebaikan berbentuk keperluan asasi (daruriyyat), keperluan (hajiyyat) dan penyempurnaan (tahsiniyyat).
Sebaiknya, pelbagai keperluan OKU pada ketiga-tiga peringkat daruriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat dapat dipenuhi. Bagaimanapun, sekiranya berlaku keadaan menuntut agar dipilih mana lebih utama, hendaklah didahulukan keperluan asasi, diikuti keperluan dan penyempurnaan.
Dalam memenuhi keperluan asasi OKU, penekanan bukan sahaja pada kemudahan infrastruktur bersesuaian memenuhi keperluan fizikal, bahkan penambahan ilmu pengetahuan, kefahaman dan amalan keagamaan agar dapat memenuhi keperluan penjagaan agama yang kesannya kebaikan kepada jiwa dan roh.
Dalam hukum fiqh Islam, tindakan dan aktiviti manusia termasuk daripada lima kategori, iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Dari perspektif maqasid syariah, kelima-lima hukum itu mewakili pelbagai kebaikan hendak dicapai dan kemudaratan ditolak.
Wajib, sunat dan harus mengandungi makna kebaikan (maslahah), manakala makruh serta haram pula mengandungi makna kemudaratan (mafsadah). Semakin besar kebaikan hendak dicapai, semakin besar tuntutan melakukannya dan begitu juga sebaliknya.
Pelbagai aktiviti pengurusan OKU termasuk dalam aktiviti manusia tertakluk pada antara lima hukum itu. Aktiviti pengurusan mendatangkan kebaikan kepada OKU berada pada kategori maslahah dan begitulah sebaliknya pengurusan yang boleh mendatangkan kemudaratan berada pada kategori mafsadah.
Pembuat dasar, pengurus dan pelbagai pihak dalam pengurusan OKU berperanan meletakkan matlamat, prinsip serta peraturan pengurusan OKU dan pelaksanaannya demi kemaslahatan golongan itu.
Dalam usaha ini, prinsip maqasid syariah boleh dijadikan sebagai panduan agar kemaslahatan OKU dapat dijaga sebaik mungkin di bawah petunjuk Ilahi.
Pensyarah Kanan Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) -Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM