KUALA BERANG: Peniaga daging dan barangan sejuk beku diminta mempamerkan sijil halal yang disahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, menjelaskan sijil halal itu perlu dipamerkan bagi mengelak berlakunya kekeliruan dalam kalangan pengguna mengenai pelbagai produk sejuk beku.
Katanya, tindakan ke atas peniaga termasuk pemilik hotel, restoran dan pasar raya yang tidak mempamerkan sijil halal adalah di bawah bidang kuasa JAKIM.
“Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) boleh mengenakan tindakan jika sijil halal yang dipamerkan itu palsu.
“Perlu diingatkan, sijil halal untuk rumah penyembelihan hanya sah dalam tempoh satu tahun, dua tahun untuk restoran dan hotel, manakala tiga tahun untuk produk kosmetik, ” katanya ketika ditemui pada majlis lawatan dan pemeriksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena perayaan Krismas di Pasar Raya Nirwana, di sini, hari ini.
Yang turut hadir adalah Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia.
Mengulas lanjut, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, berkata peniaga yang mempamerkan sijil halal palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Jelasnya, berdasarkan kesalahan itu, individu yang bukan pertubuhan dan perbadanan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 dan penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
“Mereka yang didapati melakukan kesalahan kedua boleh dikenakan denda tidak melebihi RM150,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, ” katanya.
Ketika mengulas mengapa kerajaan masih belum mengumumkan nama syarikat dan jenama daging sejuk beku yang menggunakan logo halal palsu, Rosol menjelaskan, isu itu dibangkitkan termasuk pada persidangan Dewan Negara semalam masih dalam siasatan.
“Kerajaan tidak boleh umumkan sewenang-wenangnya kerana boleh menjejaskan siasatan,” katanya.
Rosol menjelaskan, semua daging sejuk beku dijual di pasar raya dan pasar utama disahkan halal untuk dimakan.
“Daging sejuk beku yang dirampas kerana menggunakan sijil halal palsu sudah disita,” katanya. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)