Soalan
Assalamualaikum wrth, apakah yang dimaksudkan dengan hadis Nabi SAW melarang untuk sikat rambut?
Ringkasan Jawapan
Larangan menyikat rambut dalam hadis “Rasulullah SAW melarang daripada menyikat rambut melainkan sekali sekala” ini bukanlah larangan yang bersifat mutlak. Tetapi yang dimaksudkan oleh Nabi SAW ialah jangan terlalu sibuk menghias rambut mahupun diri sehingga mengabaikan perkara-perkara lain yang lebih utama. Sedangkan, pada zaman tersebut perbuatan menyibukkan diri dengan menyikat rambut ini adalah salah satu daripada lambang kemewahan serta mereka yang terlalu cintakan dunia. Selain itu, ulama syafi’iyyah seperti Imam Syihab al-Din al-Ramli menyatakan hadis ini menunjukkan hukum mendandan rambut adalah sunat mengikut keperluan sahaja, bukannya kerap. Oleh itu dalam hadis yang lain Nabi SAW pernah menyuruh sahabatnya Abu Qatadah RA menyikat dan merapikan rambutnya yang panjang.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Akhirat.
Hadis yang dimaksudkan ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Hasan al-Basri daripada ‘Abdullah bin Mughaffal yang menyebutkan bahawa:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ التَّرَجُّلِ إِلَّا غِبًّا
Maksudnya: Rasulullah SAW melarang daripada menyikat rambut melainkan sekali sekala.
Riwayat Abu Daud dan al-Tarmizi
Imam al-Tarmizi menghukumkan hadis ini sebagai hasan sahih.Dalam mentafsirkan perkataan “غِبًّا” ini para ulama berbeza pandangan, antaranya Imam al-Hasan al-Basri menyebutkan bahawa memadai sikat rambut hanya seminggu sekali.Manakala Imam Ahmad bin Hanbal menyebutkan bahawa sikat rambut dengan kadar selang sehari. Ulama mazhab al-Syafiʻi seperti Imam al-Baijuri menyebutkan bahawa perkataan “غِبًّا” dalam hadis tersebut membawa maksud larangan untuk sentiasa menyikat dan mendandan rambut kerana sikap terlampau berlebihan mengurus rambut termasuk dalam perkara-perkara berhias dan bermewah-mewah sedangkan perbuatan tersebut merupakan perbuatan kaum wanita.
Selain itu, ulama syafi’iyyah menyatakan hadis ini menunjukkan hukum mendandan rambut adalah sunat mengikut keperluan sahaja, bukan dengan maksud kerap. Hal ini didasarkan kepada pandangan yang dikemukakan oleh Imam Syihab al-Din al-Ramli dalam Syarh Matn al-Zubad:
يسن أن يدهن غِبّاً أي وقتاً بعد وقت بحسب الحاجة
Maksudnya: Disunatkan untuk mendandan rambut secara sekali sekala iaitu mengikut kepada keperluan.
Sebenarnya, larangan ini bukanlah bersifat mutlak kerana Imam al-Syaukani menyebutkan bahawa:
وَالْحَدِيثُ يَدُلُّ عَلَى كَرَاهَةِ الِاشْتِغَالِ بِالتَّرْجِيلِ فِي كُلِّ يَوْمٍ لِأَنَّهُ نَوْعٌ مِنَ التَّرَفُّهِ
Maksudnya: “Hadis ini menunjukkan larangan terlalu sibuk menyikat rambut pada setiap hari kerana ia merupakan salah satu lambang kemewahan.”
Selain itu, dinukilkan bahawa Imam al-Munawi menyebut Nabi SAW melarang daripada menyikat rambut tersebut adalah kerana perbuatan itu merupakan amalan selain masyarakat Arab bahkan amalan mereka yang cintakan dunia.
Kemudian, terdapat riwayat yang lain Nabi SAW meminta Abu Qatadah RA untuk menyikat rambutnya pada setiap hari kerana beliau mempunyai rambut yang panjang. Abu Qatadah RA meriwayatkan bahawa:
كَانَتْ لَهُ جُمَّةٌ ضَخْمَةٌ، فَسَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «فَأَمَرَهُ أَنْ يُحْسِنَ إِلَيْهَا، وَأَنْ يَتَرَجَّلَ كُلَّ يَوْمٍ»
Maksudnya: Dia mempunyai rambut yang tebal dan panjang, lalu dia bertanya kepada Nabi SAW. Maka Nabi SAW menyuruhnya untuk memperelokkan rambutnya dengan menyikatnya pada setiap hari.
Riwayat al-Nasa’i
Selain itu, dalam al-Syama’il al-Muhammadiyyah juga mempunyai bab khusus berkenaan menyikat rambut.Dalam bab tersebut Imam al-Tarmizi menghimpunkan hadis-hadis berkenaan Nabi SAW menyikat dan merapikan rambut Baginda SAW.
Kesimpulan
Larangan menyikat rambut dalam hadis tersebut bukanlah larangan yang bersifat mutlak. Tetapi yang dimaksudkan oleh Nabi SAW ialah jangan terlalu sibuk menghias rambut mahupun diri sehingga mengabaikan perkara-perkara lain yang lebih utama. Sedangkan, pada zaman tersebut perbuatan menyibukkan diri dengan menyikat rambut ini adalah salah satu daripada lambang kemewahan serta mereka yang terlalu cintakan dunia. Selain itu, ulama syafi’iyyah seperti Imam Syihab al-Din al-Ramli menyatakan hadis ini menunjukkan hukum mendandan rambut adalah sunat mengikut keperluan sahaja, bukannya kerap. Oleh itu dalam hadis yang lain Nabi SAW pernah menyuruh sahabatnya Abu Qatadah RA menyikat dan merapikan rambutnya yang panjang.
Wallahuaʻlam.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam: