Isu tuduhan terhadap Ikhwan Muslimin bukanlah perkara baru, seawal tahun 1920 ketika tarikh penubuhannya lagi sudah menghadapi pelbagai tuduhan, sepertimana yang direkodkan di dalam pelbagai catatan sejarah dan penulisan.
Malah, kebanyakanya telah dijawab dengan tulisan mahupun akhlak dan dakwah yang dilakukan oleh Ikhwan Muslimin. Tuduhan terhadap Syed Qutb (akhirnya ke tali gantung tanpa bicara atas tuduhan menggulingkan kerajaan), tuduhan pengganas dan lain-lain tuduhan semua telah dijawab berulangkali di laman web rasmi mereka, mahupun penulisan panjang yang tidaklah susah untuk dicari pada hari ini.
Antara isu pokok dalam Ummah yang berlaku adalah cara fikir taksub mazhab dan kepuakan yang melampau, sehingga nyawa yang dihukum secara salah dilihat ringan dan tidak bernilai dek kerana “taksub yang wujud”.
Ada pula yang memalitkan Universiti Al-Azhar dalam hal ini, sedangkan Al-Azhar sebagai institusi ilmu sendiri terdapat pensyarah yang mempunyai pelbagai latar belakang dan pelbagai pendirian.
Hanya kerana ada beberapa “Azhariy” yang mengkritik, seluruh Institusi Al-Azhar redha dengan hukum tersebut.
Mereka yang taksub mazhab aliran tertentu melihat mazhab selain mereka adalah salah.
Perkara ini menyuburkan kebencian terhadap mazhab selain mereka, pentaksub Tasauf akan membenci Salafi dan Ikhwan, pentaksub Salafi akan membenci Tasauf dan Ikhwan, pentaksub Ikhwan akan membenci Tasauf dan Salafi, Kelompok “Jihadi” akan membenci semua yang tidak mengangkat senjata bersama mereka, kelompok pentaksub politik mencela dan membenci mereka yang mengkaji kitab.
Selain itu, mereka yang taksub kitab mencela mereka yang terjun bidang politik, pentaksub peniagaan menuduh yang makan gaji tidak membangunkan ekonomi Islam, pentaksub makan gaji penuduh yang berniaga menipu.. begitulah seterusnya.
Apa yang menyedihkan adalah apabila “kebencian” tersebut menghilangkan prinsip asas dalam menilai nyawa seorang muslim, di mana Allah SWT menyebut dengan begitu jelas lagi bersuluh sebuah prinsip yang menjadi asas kepada nyawa:
مِنْ أَجْلِ ذَٰلِكَ كَتَبْنَا عَلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنَّهُ مَن قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا ۚ وَلَقَدْ جَاءَتْهُمْ رُسُلُنَا بِالْبَيِّنَاتِ ثُمَّ إِنَّ كَثِيرًا مِّنْهُم بَعْدَ ذَٰلِكَ فِي الْأَرْضِ لَمُسْرِفُونَ (32)
“Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya,”
Hukuman mati bukanlah suatu yang mudah, tambahan pula dengan pendakwaan yang mengarut dan penuh syak wasangka yang berlaku terhadap Ikhwan Muslimin.
Semua maklum apa yang berlaku di Raba’ah, wujud kelompok “Baltagi” atau gangster upahan yang memporak-perandakan perhimpunan dengan senjata api ketika itu.
Wujud campur tangan luar dengan jelas, pelantikan sementara Robert S. Ford (bekas duta Amerika Syarikat (AS) ke Iraq) dan pelbagai isu yang timbul.
Untuk mensabitkan 13 orang pemimpin Ikhwan Muslimin sebagai pembunuh, dalam keadaan pedemonstrasi yang dibunuh “Baltagi” kekal tidak terbela, pembunuh sebenar masih bebas, teramat jelas konspirasi yang wujud bagi menjatuhkan Ikhwan Muslimin di Mesir.
Ketika krisis memuncak, saya tinggal di rumah yang tidak sampai 10 kilometer dari Medan Rabaah, sebuah masjid yang pernah saya menunaikan solat jemaah secara harian di dalamnya, sejak tahun pertama pula adalah laluan ke kubur dan setiap hari akan ada solat jenazah pendemonstrasi yang terbunuh.
Adakah salah 13 orang yang merupakan sebahagian daripada pendemonstrasi? Bagaimana pula pembelaan terhadap pendemonstrasi?.
Dengan kes mensabitkan Ikhwan Muslimin tampak begitu politikal dan tidak berasas, pentaksub-pentaksub dengan kebencian yang tersemai dengan mudah menjustifikasi hukuman tali gantung.
Malah, terus memejam mata terhadap kezaliman sebenar, berpuluh tahun yang diperlakukan terhadap Ikhwan Muslimin seperti penjara tanpa bicara, penangkapan terancang dan lain-lain serta Mesir dengan kerosakan sistem, rasuah dan kemunduran.
Semuanya tidak diambil kisah, namun apabila 13 orang Ikhwan Muslimin dihukum gantung, muncul pelbagai justifikasi dan beria-ia sangat menuduh.
Begitulah sifat-sifat pentaksub, yang mudah dipergunakan oleh musuh berkepentingan dan dimanfaatkan sepenuhnya untuk melagakan ummah, di mana tahap tertinggi dalam perlagaan adalah hilangnya nilai pada nyawa manusia.
Ustaz Mohd Suhail Mohd Sufian
Naib Pengerusi Majlis Ulama Islam ISMA (MUIS)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)