PENDIDIKAN Islam amat penting. Sehingga Baginda Nabi S.A.W bersabda:
مَنْ يُرِدِ اَللَّهُ بِهِ خَيْرًا, يُفَقِّهْهُ فِي اَلدِّينِ
“Siapa yang dikehendaki kebaikan yang banyak oleh Allah, nescaya akan difahamkan perihal agamanya.”
(Riwayat Imam al-Bukhari)
Sebagai seorang Muslim yang patuh pada perintah Allah S.W.T, kita perlu melihat konteks maksud Ad Din adalah cara hidup, ‘way of life’ yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Kita tidak boleh melihat agama Islam hanyalah semata-mata suatu bentuk ritual. Ia terangkum dalam tiga perkara aqidah, syariah dan akhlak.
Makan, minum, bekerja, perhubungan sesama manusia, hatta perilaku dalam berhadas pun ada adabnya. Maka jelas, Islam ini adalah sebuah panduan hidup yang memandu kesejahteraan manusia.
Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Ma’idah ayat 3 bermaksud:
“Pada hari ini, Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”
Di negara kita, jelas diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3, bahawa agama Islam adalah agama Persekutuan, yang menguatkan lagi pengamalan hidup yang perlu dipatuhi secara serius dalam kehidupan kita di bumi Malaysia.
Amat merisaukan apabila cabaran penghayatan agama dalam diri anak-anak Muslim pada hari ini makin rapuh. Dunia terbuka, menambahkan lagi parah dan telah membenarkan banyak aliran pemikiran yang masuk di kalangan masyarakat, yang ternyata memberatkan lagi cabaran dalam kehidupan beragama.
Oleh itu, pembelajaran ilmu agama adalah benteng utama buat kita semua, terutamanya buat anak-anak yang perlu dididik bukan sahaja di sekolah, malah perlu dihidupkan pembelajaran agama di luar sekolah.
Ustaz dan Ustazah mendidik anak-anak kita di sekolah. Kita pula sebagai ibu bapa memberi bimbingan kepada anak-anak apabila di rumah.
Rasulullah S.A.W bersabda:
كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
“Anak itu ibarat seperti kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani, ataupun Majusi.”
(Riwayat Bukhari)
Ibu ayah, dan kita semua perlu bersama berperanan untuk terus menguatkan pegangan agama yang melibatkan semua umat Islam.
Tular isu berkenaan pertikaian berkenaan subjek agama yang terdapat di dalam silibus Sekolah Rendah, memberi jentikan untuk kita secara bersama berminat menyelongkar kesedaran utama dalam pembelajaran agama, dan pastinya minat ini perlu sentiasa dipertingkatkan.
Tambahan lagi, dengan dunia yang begitu dinamik, pembelajaran yang lebih interaktif juga perlu sentiasa diterokai.
Menghapuskan subjek agama tidak akan menyelesaikan masalah, malah ianya akan menambahkan lagi ‘root cause’yang mencipta lebih banyak lagi cabang masalah terutama daripada aspek cabaran sosial anak-anak kita ada hari ini.
Teringat kepada ucapan yang disampaikan oleh YBhg Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah ketika Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menganjurkan Multaqa Daie di ILIM pada bulan Oktober 2021.
Beliau membangkitkan kerisauan mengenai pengamalan solat di kalangan anak muda. Ini adalah satu keresahan yang perlu diambil berat kita semua sebagai seorang Muslim yang bertanggungjawab.
Baginda Rasulullah S.A.W bersabda:
مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ
“Perintahkanlah anak-anak kalian untuk mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak mahu melaksanakannya) ketika mereka berumur sepuluh tahun. Dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Harus diingat tanpa penghayatan agama maka tiadalah panduan. Jika tiada panduan rosaklah masyarakat dengan masalah sosial yang pelbagai akan berlaku.
Firman Allah S.W.T:
وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَ ٰطِی مُسۡتَقِیمࣰا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُوا۟ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِیلِهِۦۚ ذَ ٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”
(al-An’am 153)
Maka, mari kita bersama untuk meneliti segala aspek pertimbangan untuk memastikan pengajaran agama ini menjadi urusan besar, sama ada secara formal atau tidak formal dalam didikan anak-anak kita semua.
YB SENATOR USTAZ IDRIS AHMAD
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM