1. Salah satu masalah yang sedang dihadapi oleh orang yang mengaku sebagai seorang sarjana Muslim ialah tidak lagi merasa izzah (mulia) dengan Islam, lantaran itu apabila bercerita mengenai Islam kupasannya hanya sekadar berkongsi nilai-nilai sejagat yang telah diadun lebih awal oleh manusia yang tidak mengiktiraf kekuasaan Allah dalam meletakkan sistem nilai dalam kehidupan dan memaksa orang lain untuk menerima nilai-nilai berkenaan.
2. Contohnya apabila berbicara soal kezaliman, perbahasan tidak sampai mencecah isu syirik itu adalah kezaliman yang paling besar, berbicara soal kebebasan manusia perbahasan sekadar nilai-nilai perkongsian sejagat sehingga tidak menembusi isu kedudukan hak Allah dalam perjuangan hak asasi manusia.
3. Sarjana Muslim sewajibnya merasa izzah/mulia dengan ajaran Islam yang tulen, bukan merasa izzah dengan sistem nilai yang dipaksa pakai oleh manusia yang menolak peranan Allah dalam kehidupan. “Adakah mereka mencari di sisi orang-orang kafir itu kemuliaan? Sedangkan kemuliaan itu adalah milik Allah. “(4:39)
4.Satu kajian yang telah dilakukan oleh Hosssein Askari seorang Profesor Jabatan Perdagangan Antarabangsa dan Perhubungan Antarabangsa salah sebuah universiti di Amerika Syarikat bersama Scheheraazade S. Rehman secara simplistik membuat kesimpulan bahawa kebanyakan negara-negara bukan Islam jauh lebih beramal dengan Al-Quran berbanding dengan negara-negara Islam sendiri adalah dangkal dan tidak menepati piawai Al-Quran sendiri ini disebabkan beberapa sebab.
5. Kajian ini lebih menumpukan kepada empat asas sahaja iaitu pengurusan pentadbiran (governance), hak asasi kemanusiaan, hak berpolitik dan Perhubungan Antarabangsa sedangkan standard Al-Quran bukan sekadar empat unsur ini sahaja.
6. Kalaupun 4 unsur dikembalikan standardnya kepada Al-Quran nescaya masih banyak ruang yang munasabah untuk kita persoalkan kejituan kajian ini. Contohnya hak asasi manusia di dalam Al-Quran tidak mewajarkan hubungan sejenis, perkahwinan sejantina, hidup berkesududukan yang menjadi lumrah kepada negara-negara yang lebih ‘quranik’ kononnya itu.
7. Dari sudut politik contohnya, sistem demokrasi tulen yang diamalkan dalam negara-negara yang lebih “quranik” kononnya itu sebagai satu ideologi “dari rakyat untuk rakyat” telah menafikan ajaran Al-Quran sendiri yang menghadkan wewenang manusia hanya sebagai khalifah yang masih wajib tunduk kepada peraturan Allah.
8. Dalam hubungan antarabangsa kita persoalkan adakah Al-Quran mewajarkan hak keadilan kepada umat Islam yang tertindas di Palestin mahupun di Myanmar secara mudah di veto kan secara mudah oleh beberapa negara berkuasa veto termasuklah negara ‘ yang lebih Quranik’ itu. Sedangkan negara-negara Islam kebanyakan nya adalah negara mangsa kepada kerakusan negara-negara barat.
9. Dalam isu good governance kita mengakui memang banyak kelemahan yang berlaku di kalangan negara Islam dalam skala yang lebih besar dari negara-negara lain seperti isu amanah, rasuah dan sebagainya. Ini berlaku apabila umat Islam jauh daripada ajaran Al-Quran itu sendiri. Maka saya melihat dalam konteks Malaysia ada kewajarannya usaha mengingatkan orang-orang Melayu Muslim yang memegang tampuk pemerintahan dan pentadbiran agar kembali kepada Al-Quran kerana golongan inilah yang majoriti memegang jawatan-jawatan ini. Dan bukanlah rasis ataupun asobiyyah usaha mengembalikan bangsa yang punya syaukah kembali kepada Al-Quran.
10. Sekali lagi dipertegaskan bahawa mengukur perbandingan pengamalan sesebuah negara mana yang lebih hampir kepada Al-Quran tidak memadai dengan 4 aspek berkenaan sahaja, dan jika mahu juga menggunakan aspek asas berkenaan ia perlu dikembalikan kepada kehendak sebenar Al-Quran bukannya mengikut versi PBB mahupun polis dunia Amerika Syarikat.
Firman Allah “Dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkan kamu dari sesuatu hukum yang Allah telah turunkan kepada kamu.” (5:14)
Ustaz Haji Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak
Sumber: http://www.ismaweb.net/2014/06/penyelewengan-standard-al-quran-dalam-menilai-keislaman-sesebuah-negara/