Penulisan ini adalah ringkasan dan olahan dari bacaan saya berkenaan bab pertama dari buku “Al-Khuttoh
Al-Barraqah, Syeikh Dr Solah Al-Khalidi”.
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
﴿ وَالْعَصْرِ * إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ * إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴾
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Demi Masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (3)
Fiqh ‘Perahan’ Umur
Mengapa saya katakan ‘perahan’? Asal kalimah العصر bermaksud memerah sesuatu sehingga keluar susunya atau airnya. Seperti juga perkataan عصير dalam bahasa arab yang bermaksud jus segar yang diperah.
Maka permulaan surah al-‘Asr yang diterjemahkan “Demi Masa”, seolah memberikan mesej kepada kita bahawa perahlah masa kalian! Perahlah masa kalian sehingga menghasilkan atau mengeluarkan sesuatu yang bermanfaat dan berfaedah. Berusahalah dengan sedaya mungkin agar masa yang terbiar tidak berlalu begitu sahaja. Jika kita tidak menggunakan masa kita sebaiknya, kita akan menyesal apabila masa itu berlalu kerana ianya tidak akan berpatah balik.
4 sifat mereka yang berjaya dan beruntung,
Dari surah al-‘Asr, Allah s.w.t telah memberikan formula kejayaan untuk hamba-hamba Nya, agar mereka dapat menggarap dan merebut peluang ini. Formula tersebut adalah:
- Orang yang beriman
- Orang yang beramal soleh
- Orang yang berpesan dengan kebenaran
- Orang yang berpesan dengan kesabaran
Formula di atas adalah 4 sifat bagi insan yang berjaya meraih keuntungan di dunia dan akhirat. Mereka ini adalah golongan yang berjaya memanfaatkan masa dan umur mereka dengan baik. Dan keempat-empat sifat ini perlu diikuti turutannya.
1. Orang yang beriman
Iman adalah asas kepada segala perkara. Iman adalah syarat penerimaan setiap amal muslim. Kerana itulah iman diletakkan sebagai syarat yang pertama sebelum perkara yang lain. Tanpa iman, segala amal kebaikan yang dilakukan hanyalah sia-sia di sisi Allah s.w.t.
2. Orang yang beramal soleh
Amal soleh disebut selepas iman kerana amal kebaikan adalah manifestasi atau hasil dari keimanan itu sendiri. Orang yang melakukan amal kebaikan belum tentu beriman. Benar. Tetapi orang yang beriman sudah pasti beramal dengan amal yang soleh. Orang yang soleh akan ‘memerah’ masanya dan umurnya untuk amal kebaikan demi memberi manfaat kepada manusia lain.
Dua sifat seterusnya memperincikan apakah cara untuk memberi manfaat kepada orang lain.
3. Berpesan dengan kebenaran
Pertamanya, apa itu kebenaran? Al-haq yang dimaksudkan disini adalah Islam seperti yang telah digambarkan di dalam al-Quran dan as-Sunnah dan ulama salaf. Al-haq adalah agama Islam yang suci yang diiktiraf oleh Allah s.w.t sebagai satu-satunya agama kebenaran.
Berpesan dengan kebenaran tidak dapat dilakukan melainkan dengan ilmu yang benar dan menguasai ilmu tersebut dan sampaikan dengan cara yang benar. Mereka menghabiskan masa mereka menuntut ilmu. Ini dapat dilakukan dengan menghidupkan majlis ilmu di masjid, sekolah, institusi dan rumah kita sendiri.
Selain itu, proses ini memerlukan kerjasama antara 2 pihak, kerana ‘tawasi’ membawa maksud saling memberi nasihat. Jadi tidak semestinya satu pihak sahaja yang memberi nasihat, tetapi yang diberi nasihat juga boleh memberi nasihat dan membetulkan dengan cara hikmah dan berlapang dada.
4. Berpesan dengan kesabaran
Sifat yang keempat ini terbina dari sifat yang sebelumnya iaitu beriman, beramal, dan ilmu yang benar. Jika kita beriman dan beramal dengan ilmu yang benar, kita pasti akan mengetahui nilai bersabar.
Kenapa bersabar? Kerana kita tahu jalan dakwah ini sukar, penuh dengan cabaran dan dugaan. Memberi nasihat dan berpesan juga ada cabarannya yang tersendiri. Maka bersabarlah.
Kesimpulan
Demikianlah 4 sifat mukmin yang berjaya. Mereka yang menjadikan iman sebagai asas, kemudian beramal dengan amal yang soleh, dan berpesan dengan kebenaran dan kesabaran. Semua ini tidak dapat dilakukan melainkan dengan ‘memerah’ masa yang kita ada di dunia ini. Memerah masa kita memberi manfaat dan istifadah kepada manusia lain dalam setiap masa dan detik yang kita ada.
Ustaz Afifi Salleh Abdul Rahman
Sarjana Muda Usuluddin Universiti Yarmouk
afifiabdulrahman.wordpress.com
www.indahnyaislam.my