Tanggal 17 Ramadan 624M, Allah swt mengatur kemenangan umat Islam Generasi Pertama mengalahkan tentera kafir di pekan Badar, 160 km dari Madinah. Ia bukan sekadar salah satu kisah dari perjuangan Rasulullah saw yang panjang, malah ia adalah satu noktah peralihan yang penting dalam sejarah perjuangan Islam dan para Anbiyak ra yang panjang dan silih berganti. Ia adalah juga tanda jalan dan pengajaran yang penting kepada para Duat sepanjang zaman sehingga ke Hari Kebangkitan.
Setelah umat Islam terpaksa berhijrah kerana agama, meninggalkan kampung halaman turun temurun, sanak saudara serta harta benda mereka di Mekah, Rasulullah saw tidak membiarkan kerugian ini berlarutan tanpa pembelaan untuk umat Islam dan pengajaran kepada kaum yang zalim. Sebaik mendengar rombongan dagang Abu Sufian bergerak dari Mekah menuju arah utara ke Syam dimana sudah pasti rombongan tersebut akan melalui Madinah yang berada di tengah-tengah perjalanan, Rasulullah saw merancang untuk merampas harta dagangan tersebut.
Di Mekah dahulu, umat Islam diminta bersabar oleh Allah swt dalam menanggung derita, melalui ayat Al-Quran, “Wahai orang-orang beriman, tahanlah tangan-tangan kamu (jangan bertindak terhadap orang-orang yang menyiksa kamu), dan dirikanlah solat” (Al-Quran). Solat sahaja adalah tindakbalas yang boleh mereka lakukan apabila disakiti atau dianiaya oleh Quraisy.
Setelah Hijrah, turunlah ayat “Diizinkan (berperang) kepada yang diperangi kerana mereka dizalimi. Dan sesungguhnya Allah berkuasa memenangkan mereka. (Iaitu) orang-orang yang dihalau dari rumah-rumah mereka (di Mekah dll.) tanpa (alasan yang) hak, melainkan mereka berkata ‘Tuhan kami adalah Allah ” (Al-Quran). Umat Islam Muhajirin dizalimi dan kini Allah izinkan perang. Rombongan dagang Abu Sufian seramai 40 orang meluncur laju, berjaya melepasi Madinah dan tiba ke Syam. Rasulullah saw menunggu mereka pulang melalui Madinah, jaraknya 400 km sebelum tiba ke Mekah di selatan.
Apabila menghampiri Madinah, Abu Sufian dapat merasai bahaya yang menunggu, sedang beliau diiringi oleh hanya 40 orang pedagang, bukan pejuang. Dia meramas tahi-tahi unta yang berdekatan. Ia berisi biji-biji kurma. Pasti ia unta dari tentera perisikan Muhammad saw kerana unta-unta Madinah, sebuah bandar pertanian kurma, memakan buah kurma, sedang unta-unta kabilah lain memakan rumput kering. Abu Sufian menghubungi pimpinan Quraisy di Mekah. Mekah menghantar 1000 tentera. Harapan 313 orang Islam untuk melawan mudah 40 pedagang bersama Abu Sufian meleset.
Tidak semua orang Islam membawa senjata kerana beranggapan mereka hanya akan melawan 40 orang pedagang. Bilangan ramai mereka yang turut serta mencapai 313 orang kerana untuk memikul pulang ke Madinah harta rampasan dagangan yang banyak nanti, bukan untuk berperang, tetapi Allah mengatur dan mahukan mereka melawan 1000 tentera yang lengkap bersenjata perang. Demikian aturan Allah pada kali ini, lain dari kecenderungan dan harapan hamba-hambaNya di Madinah.
Orang-orang Ansar Madinah pernah memeterikan Baiah Aqabah II untuk mempertahankan Rasulullah saw di Madinah, sedang pekan Badar berada di luar Madinah. Apabila rombongan dagang Abu Sufian berjaya bolos dan aman menuju ke Mekah, rombongan Islam seramai 313 orang tiada pilihan melainkan bertembung dengan 1000 tentera lengkap Quraisy di Badar. Jika orang-orang Ansar memilih untuk tidak menyertai perang tersebut kerana tidak termasuk dalam perjanjian, maka orang-orang Muhajirin sahaja yang akan berperang melawan tentera Quraisy, sedang bilangan mereka tidak sampai 90 orang. Bilangan Ansar ialah kira-kira 220 orang.
Rasulullah saw tanya Abu Bakar As-Siddiq. Abu Bakar ra memilih untuk lawan dengan katanya, “Ajal“, bermaksud, “Ya (kita lawan)”. Umar Al-Khattab ra juga berkata, “Ajal“. Orang-orang Ansar asalnya diam sahaja sehingga Rasulullah saw meminta pandangan secara umum, “Asyiruni ayyuhannas (berilah pandangan kamu wahai orang ramai)”. Saad bin Muaz ra berkata, “Tuan seperti hendak pandangan kami ya Rasulullah!!”. Mereka senyap kerana mereka ikut sahaja apa keputusan yang diambil oleh Rasulullah saw, walaupun bukan Badar tidak termasuk dalam Baiah Aqabah II. “…Pergilah kemana sahaja yang engkau mahu, kami akan bersamamu. Kami tidak akan berkata seperti kaum Musa as berkata kepada Musa (untuk memasukki Palestin), ‘Pergilah engkau bersama Tuhan engkau, kami hendak lepak di sini’, tetapi kami (orang-orang Ansar) berkata, ‘Pergilah engkau bersama Tuhan engkau, kami bersama kamu berperang !!!”.
(Apabila Saad syahid selepas cedera di Perang Khandaq, Nabi saw menyatakan bahawa arasy Allah bergegar dengan kematian Saad). Mereka adalah sebaik-baik umat yang telah dikumpulkan oleh Rasulullah saw sejak 15 tahun yang lalui, sebaik turun dari Gua Hirak. “Ya Allah !! Jika (kalah dan) musnah kumpulan ini pada hari ini (Perang Badar), Engkau tidak akan disembah selama-lamanya. Ya Allah !! Berikanlah kemenangan (pada hari ini) yang telah Engkau janjikan kepada aku”, begitu bersungguh munajat dan doa Rasulullah saw sehingga jatuh kain selendang dari atas bahunya. Kebanyakan tentera Islam tidak bersenjata dan terpaksa menggunakan pelepah-pelepah tamar untuk melawan Quraisy yang berpedang. Kuda hanya 2 ekor yang ditunggang oleh Zubair bin Awwam dan Miqdad Al-Aswad berdepan dengan puluhan kuda Quraisy.
Perang meletus diakhiri dengan kemenangan dipihak Islam yang serba kekurangan disegi kelengkapan tetapi tinggi disegi keimanan dan keperwiraan. Allah swt mendatangkan hujan dan ngantuk sebagai keamanan bagi jiwa tentera Islam. Allah swt menurunkan Malaikat. Belum sempat pelepah tamar memukul mengena leher musuh, leher tersebut terpenggal dek pukulan Malaikat. “Penggallah diatas leher. Penggallah dari mereka semua ubun-ubun (atas kepala)” (Surah Al-Anfaal). Ghazwah Badar Al-Kubra meninggalkan berbagai pengajaran untuk kita para Duat dan umat Islam hari ini. Diantaranya ialah :
Pertama : Perang atau Jihad, sepertimana ia terdapat didalam Seerah dan terbentang didalam Al-Quran akan kewajipannya, ia adalah satu kefardhuan bagi umat Islam sehingga ke Hari Kiamat. Ia adalah suatu yang realiti. Persediaan kearahnya adalah mesti. Tuntutan terhadapnya demi kemenangan Islam adalah pasti.
Kedua : Didalam hidup ini, bahkan didalam perjuangan Islam, kadangkala kita menghendakki sesuatu tetapi Allah menghendakki yang lain pula, dengan hikmah yang tertentu yang hanya diketahui olehNya. Allah swt yang memiliki Dakwah ini, Dia lebih tahu jalannya. Para Sahabat ra berharap dapat lawan 40 pedagang, tetapi Allah hendak mereka melawan dan mengalahkan 1000 tentera lengkap untuk berperang. Kita dituntut beriman, membuat persiapan sedaya mungkin, beramal semaksimannya, dan menyerah hasil amalan kita kepada Allah swt.
Ketiga : Bilangan dan kelengkapan bukan semestinya membawa kepada kemenangan dalam perjuangan. Hakikatnya, keimanan dan pertolongan ALlah itu lah yang menentukan kejayaan. Oleh itu asas penting dalam Dakwah ialah Tarbiyah kearah menghasilkan para Duat dan masyarakat yang Rabbani, bukan sekadar meramaikan bilangan pengikut dan licik mengatur strategi menentang lawan. Oleh itu Jemaah Islam adalah kumpulan manusia yang berhimpun diatas asas Tarbiyah. Tanpanya perkumpulan itu adalah seperti kelab, persatuan, parti, NGO, pertubuhan yang tidak banyak bezanya dari perkumpulan-perkumpulan yang telah sedia ada di mana-mana.
Semoga setiap detik peristiwa sepanjang Perang Badar Al-Kubra 17 Ramadan tersemat didalam hati dan fikiran pemuda pemudi dan umat Islam seluruhnya, terutama dalam menghadapi serangan dan penjajahan Barat terhadap mereka yang saban hari semakin memuncak di zaman ini. “Wahai orang-orang beriman, diwajibkan keatas kamu berperang, walaupun perang itu tidak kamu sukai. Mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, sedang ia baik untuk kamu. Mungkin kamu suka sesuatu, sedang ia tidak baik untuk kamu. Allah mengetahui, sedang kamu yang tidak mengetahui” (Al-Quran).
Ustaz Abdul Halim Abdullah
inijalanku.wordpress.com