Perang Gaza: Pendirian negara Islam, Arab memalukan

Bangi- Pendirian negara-negara Islam dan Arab dalam isu pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel di Gaza memalukan dan mengecewakan.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, negara Arab dan pertubuhan yang bercirikan sekularisme gagal membebaskan Palestin sejak beberapa dekad yang lalu, setelah mereka berjaya menyingkirkan kumpulan Islam yang menentang penubuhan negara haram Israel yang dipimpin oleh Mufti Amin al-Husaini, Izzudin al-Qassam, Hasan al-Banna dan lain-lain.

“Mufti Palestin, Syeikh Amin al-Husaini RH dan beberapa tokoh Islam telah menganjurkan Muktamar Islam Antarabangsa pada tahun 1931 melibatkan semua mazhab dan bangsa yang menganut Islam dari seluruh dunia termasuk dari Malaysia, Indonesia, Iran, India, Afrika dan Eropah, bagi menghalang penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948.

“Malangnya, usaha itu dikhianati oleh negara-negara Arab dan Islam sehingga diselamatkan negara haram itu dengan bantuan ketenteraan, politik, ekonomi dan media Barat, serta konco-konconya daripada kalangan negara Arab dan Islam yang menggagalkan usaha jihad,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sedangkan, tegasnya, penubuhan negara Israel tidak sah dari segi sejarah, agama dan politik kerana ia dilakukan secara rompakan dengan memaksa penduduk asal Palestin yang paling berhak ke atasnya untuk berpindah.

Beliau berkata, tanah air rakyat Palestin dirampas secara kekerasan dengan membunuh, merampas rumah kediaman, perniagaan dan kebun kepunyaan mereka sejak beberapa abad.

“Kita sedang menyaksikan cerita al-Quran berulang lagi dengan kemaraan kumpulan Islam menentang Zionis Israel yang menggelabahkan semua kuasa besar bersamanya, sehingga digerakkan bantuan senjata dan dihantar pasukan tentera.

“Mana-mana negara dan kumpulan disenaraikan sebagai pengganas sekiranya membantu menentang Israel dengan alasan menjaga keamanan dunia tanpa peduli terhadap keganasan melampau yang dilakukan oleh Zionis Israel yang sebenarnya menjadi ancaman.

“Kini, mereka membina tembok dan kubu bawah tanah yang banyak, serta bersenjatakan kenderaan berperisai, pesawat udara dan senjata jarak jauh daripada kuasa-kuasa besar.

“Namun, kelihatan perpecahan sesama mereka sehingga mencetuskan politik dalaman yang parah,” katanya.

Beliau berkata, keganasan yang melampau terhadap rakyat Palestin kini sehingga ke tahap pembunuhan beramai-ramai yang menyebabkan kebencian seluruh pelosok dunia sehingga di Amerika, Eropah, Amerika Latin dan Afrika.

Abdul Hadi berkata, adapun pendirian memalukan negara-negara Islam dan Arab yang menunjukkan kelemahan iman mereka yang mengecewakan terhadap agama sendiri, disebabkan hilangnya semangat persaudaraan Islam dan sifat kemanusiaan.

“Lebih malang lagi, ada kalangan negara yang menghantar bantuan terlebih dahulu melutut meminta kebenaran daripada negara haram Israel, dalam keadaan menjadi penonton pesta pembunuhan beramai-ramai oleh Zionis bersama bantuan senjata yang berterusan dan menentang kumpulan Islam yang menguasai Palestin,” katanya.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts