Georgetown: Orang awam tiada hak menentukan status akidah seseorang sama ada kafir atau Muslim memandangkan perkara berkenaan hanya boleh diputuskan pemerintah atau Mahkamah Syariah kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Menurutnya, masyarakat perlu diberi kefahaman bahawa perbuatan mengkafirkan sesama umat Islam adalah dilarang dengan sesiapa menuduh seorang Muslim sebagai kafir sedangkan orang dituduh bukanlah individu sedemikian maka kekufuran itu akan kembali kepada pihak yang menuduh.
“Pemikiran takfiril muslimin atau mengkafirkan sesama umat Islam adalah fenomena serius dan berbahaya namun amat dikesalkan kerana ia kian tersebar dalam kalangan umat Islam masa kini.
“Para ulama sudah bersepakat memutuskan bahawa tiada mana-mana orang yang berhak mengkafirkan seorang Muslim meskipun dia didapati melakukan apa-apa perbuatan maksiat.
“Masyarakat perlu tahu bahawa berdasarkan hadis Nabi, seseorang yang sudah mengucap dua kalimah syahadah maka dia tidak harus dikafirkan dan haram dicerobohi pada darah (nyawa), harta dan kehormatannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan mengenai bahaya budaya kafir-mengkafir sesama Islam yang ciri-cirinya sudah mula menusuk di negara ini.
Beliau berkata, jika perkara itu diizinkan terus berlaku, ia bukan saja membawa perpecahan dalam kalangan umat Islam, malah akan memberi kesan kepada rakyat berbilang kaum di negara ini.
Wan Salim berpandangan, peringatan yang diberi oleh Perdana Menteri adalah wajar dan seharusnya disokong dengan semua pihak perlu menunaikan tanggungjawab memberi kesedaran kepada masyarakat awam supaya menghindari sikap ekstrem tersebut.
“Pihak media mesti bekerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan dalam menyebarkan aliran pemikiran Islam sederhana (wasatiyah) di negara ini.
“Saya menasihati seluruh umat Islam supaya sentiasa merujuk kepada pihak-pihak berautoriti dalam hal penting dalam agama,” katanya.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM