Pergelutan sebuah tanggungjawab

 

SEBUAH tekad yang lahir daripada niat yang bersih, akhirnya perlu dibina menjadi sebuah tanggungjawab yang sentiasa dipantau dan ditolak pada diri seorang muslim.

Tanggungjawab ini akan membezakan seorang yang beramal bersungguh dan seorang yang beramal “sedang-sedang” selepas kedua-duanya memperolehi sebuah tekad.

Ternyata, pasca sebuah tekad inilah pergelutan yang berlaku.

Mengambil tanggungjawab kebiasaanya akan tumbang kepada nafsu yang menanam “Panjang angan-angan”.

Panjang angan-angan bukanlah suatu yang kompleks, tetapi dengan semudah kita katakan “Nanti” sudah mampu untuk mengkuburkan sebuah tekad.

Contohnya ketika seseorang yang baru pulang daripada ceramah Palestin. Seandainya ketika ceramah dia katakan “Nantilah akan derma ke Palestin”, jawapnya entah bilalah dia akan menderma kepada Palestin.

Tetapi, andai ketika itu dia terus mengambil duit yang ada walaupun sedikit untuk disumbangkan, pasti dia telah menyumbang ke Palestin dengan tekad dan semangat, walaupun sumbangan sedikit, namun sudah dikira sebagai amal kebaikan.

Begitulah tertipunya manusia terhadap perkataan ‘nanti’.

Lebih menghibakan apabila para pendakwah tertipu dengan “perancangan”, disangkanya apabila dakwah disusun jadual, hari itu dan hari ini, semakin tersusun.

Namun, andai yang menyusun tumbang kepada nafsu “nanti”, pasti jadual yang cantik hanyalah jadual “penangguhan kerja” dan justifikasi kepada amal dakwah, walaupun di akhirnya tiada seorang pun yang didakwahnya.

Yang tinggal hanyalah jadual-jadual cantik yang tidak langsung akan dibukanya.

Ibarat perancangan awal tahun yan biasa kita buat dengan tekad, namun di akhirnya tidak tercapai setelah puluhan tahun.

Apakah yang perlu dilakukan bagi merawat masalah “nanti” dan memenangi pergelutan mengembangkan “Akhlak bertanggungjawab” setelah dibina tekad?.

Allah SWT berfirman:
أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ ۖ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ فَاسِقُونَ (16)

“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka,”

Allah memberikan kefahaman kepada kita bahawa isu “nanti” ini adalah isu kritikal yang menimpa semua orang beriman.

Namun apabila Allah SWT mengatakan “khusyuk hati mereka” kemudian mengatakan “mematuhi peringatan” dan “orang-orang itu melalui masa yang lanjut (yakni membiarkan dan bertangguh)” adalah kata kunci kepada memahami rawatan kepada sikap “nanti”.

Pertama adalah apabila sesuatu perbuatan yang ingin dilakukan tidak dibina atas kekhusyukan dan kesedaran hati.

Maka untuk menukarkan tekad kepada tanggungjawab, pastikan kesedaran bukanlah hanya pada tahap logik akal dan rasional, tetapi lebih daripada itu keinginan hati dan kedudukan hati terhadap suatu perkara, adakah menjadi kegusaran dan kerisauan di dalam hati.

Persoalan seperti “Jika aku tidak menyumbang apakah jawapan aku kepada Allah?” contohnya menjadi kekhusyukan di dalam hati.

Kedua, membina sebagai prinsip. Apabila Allah SWT mengatakan sebagai “Apa yang diturunkan sebagai haq” maka perlu dibina sebagai sebuah prinsip untuk kita ambil tanggungjawab terhadap perkara tersebut.

Maka di dalam konteks Palestin tadi, prinsip kita sebagai contoh adalah “duit yang lebih dari simpanan, terus sumbang tanpa berkira kepada Palestin tanpa diminta”, maka andai dirumah, kita tetap melakukan pemindahan duit melalui atas talian kerana prinsip yang dipegang.

Ketiga adalah jangan menangguh terlalu lama. Pastikan sebarang perkara yang ditangguhkan mempunyai sela masa yang tidak terlalu jauh sehingga mematikan tekad di hati.

Setiap tekad akan pudar, maka atas kefahaman dan ketelitian kita untuk memastikan penangguhan dibuat sebelum hilangnya sebuah tekad.

Fikir dan rancang, andai lama, awalkan, pastikan kita tajam dalam menepati sebarang penangguhan yang dilakukan, sehingga “nanti” seorang yang bertanggungjawab adalah “nanti” yang bukan sekadar janji kosong, tetapi janji yang akan ditunaikan atas dasar kesedaran hati, prinsip, dan perancangan yang teliti.

Amat malang, umat Islam menjadi mundur hanya kerana sifat remeh suka menangguh dengan mengatakan “nanti”, mengapa tidak sekarang?

Mungkin di satu sudut kerana dirasakan maut dan akhirat itu jauh lagi, mungkin juga kerana pengaruh hedonisme yang menanamkan hidup masih panjang yang penting tidak perlu menekan, mungkin dan mungkin.

Yang penting mengubah sikap daripada bertangguh kepada mengambil tanggungjawab tidak boleh ditangguh.

Andai membuang sikap “bertangguh” pun di”tangguhkan”, maka Syaitan pasti bersorak kerana sudah memenangi pertembungan di dalam hati manusia hanya dengan sepatah perkataan “nanti”. Na’udzubillah min dzalik.

Ustaz Mohd Suhail Mohd Sufian
Naib Pengerusi Majlis Ulama Islam ISMA (MUIS)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts