Perihal dosa, jiwa dan Tuhan

 

Ada seorang bertanya pendapat saya mengenai falsafah dan hakikat taubat. Bagaimanakah bentuknya? Apakah yang penting dia bertaubat walaupun berkali-kali melakukan dosa yang sama? Bagaimana jika dosa lamanya menghantuinya sehingga ke penghujung usia? Bagaimana mahu melepaskan diri daripada belenggu ini?

Saya cuba menjawab dengan izin Allah:

Manusia diciptakan oleh Allah SWT dengan akal, kecenderungan, jiwa, dan hawa nafsu.

Tujuan dan matlamat kewujudan manusia adalah kembali kepada Tuhannya.

Dosa pula adalah ibarat rintangan dalam perjalanan seseorang menuju destinasi.

Ia adalah tabiat manusia yang punyai kecenderungan dan hawa nafsu untuk tersilap langkah hingga terjerumus ke dalam lembah dosa dan kehinaan.

Namun dalam kita menanggapi isu dosa dan masa lalu, kita tidak seharusnya memandang isu rintangan sebagai isu utama. Isu utama kita adalah bagaimana kita terus melangkah menuju destinasi utama.

Benar, rintangan dalam perjalanan mengganggu kita untuk melangkah lebih jauh kerana ia ibarat rantai besi yang membelenggu diri.

Namun dengan izin Allah, kekuatan jiwa dan kemahuan yang tinggi akan mampu menolak seseorang untuk keluar daripada ikatan belenggu atau duri dan selumbar yang mencucuk kaki para pejalan hingga mampu meneruskan perjalanan menuju Tuhan.

Atas sebab itu ubat bagi segala dosa dan penawar bagi segala masalah adalah dengan kembali dan mengenali Sang Pencipta.

Kenal dalam erti kata yang mendalam hingga membuahkan makrifat dalam maksud mengenali hingga mampu mencintai, memahami hingga mampu merasai haibah dan gerun kepada Dia, akhirnya melahirkan jiwa yang khusyuk dan tunduk kepada Tuhan, walau apapun menimpa dirinya sepanjang perjalanan.

Ia adalah satu perkara yang sukar diungkap dengan perkataan.

Jangan terlalu terikat dengan belenggu dosa, kisah silam, sejarah hitam, tabiat yang merosakkan, hingga kita terlupa bahawa kita sedang menuju Tuhan.

Pandanglah ke arah Dia. Jangan melihat dirimu dengan pandangan yang melayakkanmu mendapat taufiq dan keredhaan.

Pandanglah Dia. Gantungkan segala daya dan upaya pada-Nya. Jangan sekali-kali merasa amal dan perbuatanmu adalah harga sebenar dirimu di sisi-Nya. Hargamu ditentukan oleh Dia. Sampainya dirimu itu ke destinasi juga ditakdirkan oleh Dia.

Apabila dirimu sudah ‘hilang’, ketika itu engkau akan berlari kencang. Dosa dan pahala ditanggapi sebagai cabaran, bekalan dan pelita. Taubat, mujahadah, sabar dan syukur sebagai bahan bakar dan penyuluh jalan.

Ya, kita harus terus pandang ke depan. Walau apapun yang pernah kita lalui, jangan sekali-kali berputus harapan.

Fahami baik-baik hikmah Ibnu Athoillah ini :

“Di antara petanda seseorang itu bergantung kepada amalnya (tidak bergantung kepada Allah), adalah apabila dirinya berkurang perasaan berharap apabila terjebak dalam dosa dan kesalahan”

Wallahua’lam

Ustaz Ahmad Syamil Md Esa

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts