Perjanjian Rasulullah SAW semuanya menguntungkan Islam

MBC1-Omar-Old-Mecca-4

 

Bismillah, Wassolatu Wassalamu Ala Rasulillah..

Melihat kepada beberapa orang sahabat yang minat tentang tajuk di atas, sudi saya katakan bahawa tajuk ini sangat luas dan panjang, mengeluarkan kesimpulan dan dapatan daripadanya seterusnya mengaplikasi terhadap waqie’ di Malaysia khususnya dari sudut parti politik (bukan masyarakat beragama) amat susah, takut-takut kita mukhalafah sunnah Nabi daripada dakwaan kita nak ikut Nabi.

Ia menjadi tajuk thesis saya, namun saya hanya bincang beberapa perjanjian dan spesefik kesan perjanjian Baginda SAW terhadap dakwah Islam.

Apa yang saya dapati dalam kajian saya sekitar perjanjian Baginda SAW antaranya ialah:

1. Perjanjian Nabi SAW sangat banyak dan riwayatnya berbagai-bagai, yang paling Sahih adalah dua kitab Sahih. Namun dalam ilmu sirah, Ibnu Ishaq yang merupakan penulis tersohor sirah dianggap thiqah yang kita boleh naqalkan kisah-kisah di dalamnya yang berbagai-bagai walau tidak terdapat dalam dua kitab sahih. Ini pandangan daripada ramai pengkaji antaranya Dr Ali Assollabi seorang pengkaji sejarah Islam tersohor sekarang ini yang mengatakan sepakat para ulama terhadap hal ini. Begitu juga doktor hadis saya yang berpangkat Prof Madya di Universiti Al-Azhar dalam bidang hadis juga mengungkap yang demikian ketika saya berbincang dengannya dan bertanya tentang banyak riwayat Ibnu Ishaq tiada dalam dua kitab Sahih.

2. Rasulullah SAW tidak membuat perjanjian ketika Islam lemah dan umat Islam tiada kedudukan khususnya di Mekah. Bahkan di Mekah semuanya pendirian yang tegas antara yang masyhur, hadis yang mengatakan : (Jikalau mereka meletakkan Matahari di kananku dan bulan dikiriku..)

3. Perjanjian yang dibuat oleh Baginda SAW tetapi di zaman Saidina Umar RA, beliau (Umar) memutuskannya atas sebab-sebab tertentu antaranya mereka yang melanggar perjanjian.

4. Perjanjian yang dibuat dalam negara Madinah yang mesti mengakui pada dasarnya Islam sebagai agama tertinggi dan apa pertelingkahan yang berlaku mesti di rujuk kepada Baginda SAW sebagai ketua negara. Ini yang dipersetujui oleh semua penduduk Madinah termasuk Yahudi. Sebab itu kita jumpa riwayat menceritakan puak Yahudi datang berjumpa Rasulullah untuk memutuskan hukum di kalangan mereka sendiri contohnya hukum rejam kepada penzina yang telah berkahwin.

5. Perjanjian sesama penduduk supaya memelihara daripada musuh luar. Adapun musuh dalam dan yang ingin menghancurkan kesepaduan dan kesejahteraan dalaman perlu dihapuskan segera, ini yang berlaku apabila Rasulullah mengusir dan menghapuskan beberapa puak Yahudi dari Madinah yang bukan sahaja menggugat kesejahteraan masyarakat bahkan bersekongkol dengan pihak luar untuk menghapuskan Islam ini yang berlaku kepada puak Bani Quraizah, Nadhir, Qainuqa’.

6. Perjanjian Hudaibiyyah yang merupakan hujjah ramai pihak bukan suatu perkara yang boleh disebut sebagai Rasulullah bagi muka atau berlemah lembut dengan Kuffar Quraisyh, satu daripadanya adalah kerana ada orang Islam dalam Mekah yang belum keluar darinya ditakuti mereka juga dibunuh ketika serangan Rasulullah dan para sahabat ini yang disebut jelas dalam al-Quran. keduanya Qurasyh bersetuju dengan semua syarat Rasulullah SAW iaitu untuk berumrah dan lain-lain, secara tidak langsung mengikriraf kedudukan Islam di tanah Arab. Selain itu, Ini juga bukan perjanjian bahkan gencatan senjata bertempoh. Maka ia bukan boleh dijadikan sandaran bagi mana-mana parti politik secara bebas tanpa taqyid.

7. Perjanjian ini semuanya menguntungkan Islam jika dikaji. Tiada suatu pun yang Islam telah rugi dari semua sudut.

8. Perlu diasingkan perjanjian dengan mana-mana parti politik, dan penduduk yang beragama secara amnya seperti masyarakat Yahudi, masyarakat Nasrani. Ini yang dapat dilihat daripada perjanjian Madinah dan perjanjian Kristian Najran. Adapun yang membuat parti politik sendiri keluar dari kesepatakan masyarakat dengan mengasingkan diri dan mewujudkan parti politik Baginda SAW mengkhususkan bersama perjanjian asing bersama mereka. Qabilah-Qabilah termasuk dalam golongan ini.

9. Perjanjian Nabi SAW ditulis dan bertempoh jikanya Ahli Harb. Jika ahli agama seperti Yahudi dan Nasrani jika mereka bersetuju untuk tunduk kepada Nabi SAW maka tiada tempoh. tetapi jika mereka keluar dari perjanjian asal, mereka diperangi atau masuk kepada fasa perjanjian baru.

10. Amat salah dan jauh jika kita hanya mengambil satu kisah daripada perjanjian atau satu perjanjian sahaja untuk dijadikan sandaran kepada inilah kesimpulannya perjanjian Rasulullah SAW. Bahkan perlu digabungkan semuanya dan dikaji kerana Sunnah sentiasa tertakluk kepada kaedah-kaedah Nasikh Mansukh, Tadarruj (berperingkat), Taqdim Awlawiyyat, Taqdim Maslahah atau Dar’u Mafsadah dan lain-lain Kaedah Usuli.

Banyak lagi kesimpulan-kesimpulan yang saya dapat mungkin tak sempat saya nyatakan di sini. Cuma saya tegaskan di sini, untuk mengaplikasinya di Malaysia secara khsususnya perlu kajian yang lebih terperinci dan sempurna terhadap semua perjanjian Baginda SAW.

Oleh itu juga, saya nasihatkan para sahabat supaya berhati-hati dalam istisyhad dengan sirah khususnya dalam bab ini kerana takut-takut kita tersalah jadinya kita merugikan Islam lebih dari menguntungkannya.

Wallahuallam. semoga bermanfaat.

Ustaz Muhammad Ikram Abu Hassan

Sumber: http://muis.org.my/2016/07/perjanjian-rasulullah-saw-kesemuanya-menguntungkan-islam/

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts