BANGI – Hari Wanita Sedunia seharusnya meraikan jerit payah wanita seluruh dunia sebagai anak, isteri dan ibu yang sentiasa berkorban untuk kebaikan masyarakat, kata Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Dr Norsaleha Mohd Salleh.
Justeru, Dr Norsaleha berkata, menyamakan perjuangan menegakkan hak wanita dengan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah satu bentuk penghinaan terhadap golongan itu.
Mengulas mengenai video yang menunjukkan demonstrasi jalanan anjuran Sisters in Islam (SIS) dan Women’s Aid Organization (WAO) bersempena Hari Wanita Sedunia yang telah melaungkan agenda LGBT, beliau berkata, wujud perbezaan yang ketara antara perjuangan wanita dan perjuangan golongan LGBT yang sering menuntut hak individu untuk berkelakuan songsang.
Beliau menyifatkan, perjuangan LGBT yang menunggang di atas perjuangan hak wanita serta laungan patriarki seolah-olah wanita di Malaysia diancam kaum lelaki adalah agenda musuh untuk melenyapkan identiti Islam dan memporak-perandakan negara.
“Kedudukan wanita dalam Islam amat berbeza jika dibandingkan dengan kedudukan wanita dalam agama dan budaya lain.
“Hakikatnya perjuangan menegakkan hak asasi wanita di Barat terhasil daripada perasaan iri hati terhadap wanita muslimah yang diberikan penghargaan dan kedudukan oleh lelaki muslim,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Dr Norsaleha mengingatkan semua pihak bahawa perjuangan menegakkan hak asasi wanita haruslah selari dengan tuntutan syarak.
Katanya, Islam adalah agama yang memelihara hak wanita sedari hari pertama Rasulullah ﷺ diutuskan.
“Saidatina Khadijah diikitiraf sebagai watak utama dalam perjuangan menegakkan Islam begitu juga dengan isteri-isteri Rasulullah ﷺ dan para sahabiyat.
“Oleh itu, semoga Hari Wanita Sedunia kali ini mengembalikan kita kepada fitrah, fungsi asal dan rasa bertanggungjawab untuk menjadi wanita yang berpenampilan sederhana, mendidik dan qudwah,” katanya. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)