SEREMBAN: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menolak sebarang cadangan atau usaha mengurang apatah lagi memansuhkan subjek Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan (SK).
Presidennya, Mohd Azizee Hasan, berkata jika dilakukan, ia boleh menimbulkan persepsi negatif dan prejudis masyarakat terhadap Pendidikan Islam yang diajar di SK.
Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) sepatutnya merangka langkah memperkasakan lagi kurikulum Pendidikan Islam sedia ada di sekolah.
“Kami melihat penekanan kepada subjek Pendidikan Islam perlu diberi keutamaan kerana generasi hari ini terdedah dengan pelbagai risiko masalah disiplin dan kelunturan akhlak.
“Ancaman keruntuhan moral dan pemikiran liberalisasi boleh menghambat akidah dan keimanan generasi pelajar hari ini.
“Justeru, kami berpandangan kurikulum Pendidikan Islam perlu diperkasakan dengan menekankan aspek amali, bukan sekadar hafazan dan ingatan,” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau mengulas mengenai tindakan segelintir pihak memberikan pandangan tertentu terhadap subjek Pendidikan Islam di SK sehingga mencetuskan polemik dan tanggapan negatif terhadap subjek berkenaan.
Antara pandangan diberikan pihak berkenaan termasuk sekolah tidak patut dijadikan sebagai pusat mengajar agama.
Mohd Azizee berkata, waktu pengajaran Pendidikan Islam yang mengambil masa tiga jam seminggu dilihat tidak mencukupi untuk membina keperibadian dan jati diri murid Islam.
“Justeru, aspek pembentukan watak perlu diberi tumpuan di samping pembangunan bakat setiap murid,” katanya.
Beliau mencadangkan satu jawatankuasa semakan semula kurikulum Pendidikan Islam diwujudkan supaya ia dapat membina kualiti murid. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam: