Perkataan agama Islam yang tertera pada kad pengenalan mempunyai asas syariah yang kukuh

 

PERKATAAN agama Islam yang tertera pada kad pengenalan mempunyai asas syariah yang kukuh; hukum yang berasaskan siyasah, maslahah dan Maqasid Syariah.

Al-Imam al-Ghazali berkata:
نعني بالمصلحة المحافظة على مقصود الشرع، ومقصود الشرع من الخلق خمسة، وهو أن يحفظ عليهم دينهم، وأنفسهم، وعقلهم، ونسلهم، ومالهم، فكل ما يتضمن حفظ هذه الأصول الخمسة فهو مصلحة، وكل ما يفوت هذه الأصول فهو مفسدة، ودفعها مصلحة

Maksudnya:

“Kami maksudkan dengan maslahah ialah memelihara kehendak syarak (Allah Taala). Kehendak syarak ke atas makhluk ada lima, iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mereka. Maka setiap sesuatu yang mengandungi elemen menjaga kelima-lima asas ini maka itu adalah maslahah. Setiap sesuatu yang menghilangkan asas-asas itu maka itu adalah mafsadah dan menolaknya (mafsadah itu) adalah maslahah”

Al-Allamah Ibnul Qaiyim menegaskan dalam kitab إعلام الموقعين bahawa Maqasid Syariah itu tidak tercapai kecuali melalui wasilah-wasilah tertentu. Maka hukum wasilah itu adalah sama dengan hukum Maqasid yang dicapai melaluinya. Ertinya, jika ketaatan tertentu itu sunat, maka wasilah yang membawa kepada ketaatan itu juga adalah sunat hukumnya. Jika maksiat tertentu itu hukumnya haram, maka wasilah yang membawa kepada maksiat itu juga haram. Begitulah seterusnya untuk hukum wajib dan lain-lain.

Salah satu maslahah utama di sebalik terteranya perkataan agama Islam pada kad pengenalan seseorang muslim ialah untuk menutup wasilah yang boleh membawa kepada mafsadah, iaitu berleluasanya maksiat dan kekufuran tanpa sebarang tindakan undang-undang yang boleh diambil untuk mencegahnya.

Sebagai contoh seseorang itu boleh mendakwa bahawa dia bukan muslim apabila ditangkap berkhalwat atau minum arak di khalayak ramai, jika tiada bukti pada kad pengenalan yang menunjukkan dia seorang muslim.

Kesan seterusnya ialah sebahagian besar undang-undang Syariah tidak dapat dikuatkuasakan dan akan menjadi lumpuh. Oleh sebab itu, membuang perkataan Islam pada kad pengenalan adalah umpama membuka pintu maksiat dan kekufuran seluas-luasnya.

Jika pemerintah membuat keputusan untuk membuang perkataan agama itu, maka dengan sendirinya pemerintah itu mengkhianati amanah dan fungsinya yang utama iaitu menjaga agama umat ini daripada dilanda dengan wabak maksiat dan kekufuran.

Tindakan itu juga, jika diambil, bermakna dengan sendirinya memandulkan sebahagian undang-undang Syariah di negara ini.

Jika keputusan membuang perkataan itu dibuat kerana tunduk kepada desakan DAP, maka ini bermakna pemerintah yang beragama Islam adalah mereka yang bacul, dayus dan tidak bermaruah dalam berdepan dengan parti yang berasaskan ideologi sosialisme dan sekularisme.

Jika ini berlaku, maka situasi dominasi DAP dalam kerajaan sekarang ini sudah bertukar menjadi lebih teruk iaitu cengkaman kuasa politik hampir mutlak, yang memungkinkan segala matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sosialis sekular dapat dicapai dengan mudah.

Semoga Allah Taala mengampunkan kecuaian kita dan menyelamatkan agama Islam di negara ini untuk selamanya. Amin.

Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts