PETALING JAYA: Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) bekerjasama dengan Institut Perbankan dan Kewangan Islam Universiti Islam Antarabangsa (IiiBF) dalam menyampaikan program bagi membina asas pengetahuan syariah dalam kalangan pelajar selain memperkukuh perkembangan kewangan Islam peringkat global.
Program bersiri i-Kontrak yang direka khusus oleh IBFIM dan IiiBF itu bertujuan memberi panduan berkaitan piawaian dan keperluan operasi bagi memperkukuh pematuhan syariah dalam industri kewangan Islam.
Menurut IBFIM, pendekatan pembelajaran yang diterapkan dalam program tersebut adalah penting kerana ia merupakan anjakan paradigma bagi pemahaman yang lebih mendalam terutama dalam menghubungkan aspek teori dan operasi dalam kontrak syariah.
Program terbabit dilancarkan oleh Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar dan diadakan bersempena program Wacana Presiden Kewangan Islam UIAM yang disampaikan oleh Pengerusi Bursa Malaysia Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Dekan IiiBF, Prof. Dr. Rusni Hassan berkata, berdasarkan kejayaan program Wacana Presiden Kewangan Islam UIAM yang pertama kali diadakan pada tahun 2019, program tahun ini akan membahaskan isu mengenai Kewangan Islam yang lestari dan berteraskan nilai, topik yang sangat relevan dan terkini dalam kewangan Islam.
“Program kolaborasi liiBF-IBFIM itu menandakan sinergi antara pihak industri dan akademik dalam memastikan perkembangan berterusan industri kewangan Islam. IiiBF sebagai pusat kecemerlangan utama pendidikan dan penyelidikan dalam perbankan dan kewangan Islam berbangga dengan kerjasama ini,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff berkata, pihaknya amat berbangga dapat bekerjasama dengan IiiBF melalui program tersebut.
“Inisiatif itu dilihat dapat membuka ruang bagi pemahaman yang lebih jelas serta dapat menyelaraskan pengetahuan dan amalan praktikal antara sarjana syariah dengan pengamal industri.
“IBFIM dan IiiBF berkongsi aspirasi yang sama dalam usaha memperkukuh dan meletakkan Malaysia sebagai hab ilmu pengetahuan kewangan Islam yang terkenal. Usaha itu akan menjadi titik awal rujukan bagi komuniti kewangan Islam di peringkat global,” katanya. – UTUSAN ONLINE
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)