Perlakuan manipulasi agama atas kehendak nafsu mesti ditolak

 

1. Isu perkahwinan bawah umur ini timbul semula apabila seorang lelaki mengahwini pelajar berumur 11 tahun di Thailand. Apa yang turut menyedihkan, ada dikalangan netizen yang membantah mula memperlekeh hadith Rasulullah kerana isu ini.

2. Kami menolak sekeras-kerasnya perlakuan memanipulasi agama yang digunakan atas kehendak nafsu manusia. Kami turut menegaskan, dalam memperkatakan isu ini, netizen harus lebih berhati-hati dan menjauhkan diri dari memperlekeh syariat Islam itu sendiri.

3. Sekiranya diteliti dari aspek syarak, telah ramai sarjana Muslim yang mengharuskan perkahwinan sebelum umur mencapai 18 tahun. Antaranya adalah Ibn Qudamah (al-Mughni 7/379), al-Imam al-Nawawi (al Majmuk 16/168), al-Imam Ibn Hajar (Fath al Bari 14/316), Ibn Rushd (Bidayah al Mujtahid 1/396) dan al-Shaukani (Nayl al-Autar 6/179).

4. Pun begitu, Islam meletakkan garis panduan yang ketat dalam mengharuskan perkahwinan muda sebegini. Peranan seorang ayah sangat penting dalam perihal ini. Dengan sebab itu Ibn Qudamah dan Ibn al Munzir menjelaskan bahawa perkahwinan muda ini perlu mendapat kebenaran ayahnya terdahulu setelah meneliti kewajaran dan keperluan untuk anak dara tersebut sebelum dikahwinkan dalam usia yang muda.

5. Sheikh al Fawzan (I’anah al Mustafid 1/329) menyebutkan bahawa: Wali bagi anak perempuan tersebut memainkan peranan penting, sekiranya dia melihat ada maslahah (kebaikan) untuk mengahwinkan anak perempuannya dalam usianya yang masih muda, dengan dikahwinkan anak tersebut dengan lelaki yang soleh, atau orang alim yang bertaqwa, maka disitu ada maslahah bagi anak tersebut.

6. Bagi situasi di Malaysia, kami bersetuju dengan kenyataan WAFIQ (International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education) mengenai isu ini. Menurut Prof Dr. Rafidah:

“WAFIQ membantah sekeras-kerasnya kes anak-anak kecil dipaksa berkahwin dengan individu yang jauh lebih tua, atau dalam kes menjual anak apabila ibubapa cuba keluar dari jalan kemiskinan. Dalam hal ini, ibubapa atau penjaga harus bertanggungjawab tidak membenarkan perkahwinan kerana anak sekecil itu perlukan pendidikan. Biologi tubuh serta psikologinya belum memungkinkan beliau menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri.

Juga amat dikesalkan jika lelaki jauh berumur melibatkan kanak-kanak dalam urusan poligami.

Namun WAFIQ juga tidak menyokong gesaan menaikkan had umur kepada 18 tahun untuk usia layak berkahwin, tanpa penglibatan mahkamah syariah atau pejabat Ketua Menteri seperti yang dicadangkan oleh sekumpulan NGO baru-baru ini. Pengharaman total bukan jalan penyelesaian kepada masalah perkahwinan bawah umur, kerana ia melibatkan golongan remaja atau hampir dewasa (young adult), yang mana di dalam sesetengah komuniti di anggap sudah cukup dewasa.

Maka kita perlu membezakan antara dua golongan ini, kanak-kanak dan remaja yang hampir dewasa.

Oleh itu, peranan Mahkamah Syariah, dan pejabat Ketua Menteri perlu memperketatkan prosedur permohonan perkahwinan bawah umur.

Dr Ahmad Sanusi Azmi 
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts