Perlukah memberi isyarat ketika duduk tasyahud jika jari telunjuk kanannya putus?

Soalan

Salam ustaz. Saya ada satu persoalan, bagaimanakah jika jari telunjuk seseorang itu terputus atau tiada, perlukah dia menggantikan isyarat tersebut dengan jari yang lain atau mengisyaratkan dengan jari kirinya. Terima kasih

Ringkasan Jawapan

Bagi mereka yang tidak mempunyai jari telunjuk tangan kanannya, maka tidak perlu memberi isyarat dengan jari lain ketika duduk tasyahud bahkan makruh jika melakukannya. Hal ini kerana anjuran dan keharusan tersebut telah gugur ke atas dirinya.

Huraian Jawapan

Antara perkara yang disunatkan dalam solat adalah meletakkan kedua belah tangan di atas paha ketika duduk tasyahud. Tangan kanan digenggam dan jari telunjuknya dibuka, manakala tangan kiri dibuka kesemua jarinya[1]. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا جَلَسَ فِي الصَّلَاةِ وَضَعَ يَدَيْهِ عَلَى رُكْبَتَيْهِ، وَرَفَعَ إِصْبَعَهُ الْيُمْنَى الَّتِي تَلِي الْإِبْهَامَ، فَدَعَا بِهَا وَيَدَهُ الْيُسْرَى عَلَى رُكْبَتِهِ بَاسِطَهَا عَلَيْهَا

MaksudnyaSesungguhnya ketika Nabi SAW duduk(tasyahud) di dalam solat, Baginda meletakkan kedua tangannya di atas kedua pahanya. Kemudian Baginda mengangkat jari yang bersebelahan ibu jari tangan kanannya (jari telunjuk) lalu berdoa. Manakala tangan kirinya diletakkan terbuka kesemua jari di atas paha kiri.

Riwayat Muslim (580)

Jari telunjuk tersebut diisyaratkan menghadap ke arah kiblat disertai niat mentauhidkan dan mengikhlaskan diri kepada Allah SWT. Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadis di atas menyebut bahawa:

وَيُشِيرُ بِهَا مُوَجَّهَةٌ إِلَى الْقِبْلَةِ وَيَنْوِي بِالْإِشَارَةِ التَّوْحِيدَ وَالْإِخْلَاصَ وَاللَّهُ أَعْلَمُ

MaksudnyaIsyarat jari itu ditunjuk ke arah kiblat dan diniatkan untuk mentauhidkan Allah dan mengikhlaskan diri kepada-Nya.[2]

Berkaitan hal ini, timbul persoalan bagaimanakah jika jari telunjuk seseorang itu terputus atau tiada, perlukah dia menggantikan isyarat tersebut dengan jari yang lain atau mengisyaratkan dengan jari kirinya. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa makruh memberi isyarat dengan menggunakan jari kiri sekiranya jari telunjuk kanan terputus atau tiada. Lafaznya seperti berikut:

وَتُكْرَهُ الْإِشَارَةُ بِمُسَبِّحَةِ الْيُسْرَى، حَتَّى لَوْ كَانَ أَقْطَعَ الْيُمْنَى، لَمْ يُشِرْ بِمُسَبِّحَةِ الْيُسْرَى لَأَنَّ سُنَّتَهَا الْبَسْطُ دَائِمًا. وَاللَّهُ أَعْلَمُ

MaksudnyaMakruh mengisyaratkan dengan jari telunjuk kiri walaupun jari telunjuk kanannya terputus. Tidak perlu memberi isyarat dengan telunjuk kiri kerana tangan kiri disunatkan membuka kesemua jari.[3]

Begitu juga dengan jari-jari yang lain, tidak perlu memberi isyarat sebagai menggantikan jari telunjuk kanan yang terputus. Imam al-Bujairimi menjelaskan bahawa, hal ini kerana disebabkan ketiadaan jari telunjuk kanan tersebut maka gugurlah anjuran amalan sunat tersebut ketika tasyahud.[4]

Berdasarkan hujah di atas, bagi mereka yang tidak mempunyai jari telunjuk tangan kanannya, maka tidak perlu memberi isyarat dengan jari lain ketika duduk tasyahud bahkan makruh jika melakukannya. Hal ini kerana anjuran dan keharusan tersebut telah gugur ke atas dirinya.

Wallahu’alam.- Muftiwp

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts