PERSELISIHAN dan pertelingkahan dalam kalangan umat Islam hari ini amat merisaukan. Media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram menjadi bukti betapa ‘penyakit’ ini semakin membarah.
Benarlah sabda Rasulullah SAW: “…Sesiapa dalam kalangan kalian yang hidup selepas kewafatanku, maka pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak,” (Riwayat Ahmad, no. 17144).
Amat menyedihkan apabila perbezaan pandangan tidak diuruskan dengan baik sehingga membawa kepada budaya keji mengeji, saling mengkafirkan dan menghina sedangkan pihak-pihak yang terlibat pada hakikatnya masih bernaung bawah satu lembayung syahadah yang sama.
Masalah sebenar menurut Taha Jabir al-‘Alwani adalah hilangnya kepentingan bersama dalam keimanan dan kesedaran dalam hal objektif yang sama.
Perbezaan pandangan wujud sejak zaman Rasulullah SAW dalam pelbagai isu. Misalnya semasa Perang Badar, mereka berbeza pandangan berkenaan kewajaran keluar ke Badar, juga isu hukuman yang perlu dikenakan kepada tahanan perang. Tidak pula kita terbaca pergaduhan dan pertelingkahan dalam kalangan para sahabat dalam hal ini.
Begitu juga dalam peristiwa Bani Quraizah yang mana Baginda mengarahkan orang Islam solat di situ. Sebahagiannya solat asar dalam perjalanan ke sana dan sebahagiannya yang lain solat pada waktu isyak di sana. Kedua-duanya diterima oleh Rasulullah SAW.
Selepas kewafatan Rasulullah SAW, terlalu banyak rekod sejarah berkenaan perbezaan pandangan dalam kalangan para sahabat.
Antara yang terawal adalah pemilihan khalifah selepas Baginda. Selepas itu, berlaku perbezaan pandangan juga dalam hal memerangi golongan yang tidak membayar zakat, keperluan menghimpunkan al-Quran, berubahnya pendirian Sayidina Umar dalam masalah hukum bernikah dengan perempuan yang beridah dan lain-lain.
Kita juga menyaksikan perselisihan antara Sayidina Umar and Rabi’ah ibn ‘Ayyash, perbezaan pandangan antara Aishah dan Ibn Abbas dalam hal adakah Rasulullah SAW melihat Tuhan, perbezaan pendirian Abu Hurairah dan Ibn Abbas tentang hukum berwuduk selepas makan sesuatu yang dibakar dan 1,001 satu lagi perbezaan dalam kalangan sahabat dan juga tabiin.
KEPENTINGAN PERSAUDARAAN SEMASA MUSLIM
Namun, kedua-dua belah pihak tetap saling hormat-menghormati tanpa sedikit pun mengurangkan kasih sayang sesama mereka. Kami sangat terinspirasi dengan Imam Syafie yang mempunyai jiwa sangat besar.
Ketika berhadapan dengan muridnya – Imam Yunus al-Sadafi – yang berkecil hati selepas berdiskusi dengannya, Imam Syafie mengungkapkan kata-kata yang cukup indah:
“Apakah mustahil untuk kita kekal bersaudara, meskipun kita tidak bersepakat dalam satu masalah?”
Sukarkah untuk kita berlapang dada dalam menerima perbezaan? Pada kami, tidak ada penghalang yang lebih besar, melainkan ego yang ada dalam diri. Inilah yang perlu diberi perhatian serius oleh setiap lapisan umat Islam.
Antara tanggungjawab terbesar umat Islam adalah menjaga persaudaraan dan keutuhan hubungan sesama Muslim. Tugas utama bagi mencapai misi ini adalah menghilangkan apa jua halangan dan onak duri yang mengganggu usaha ke arah kesatuan tersebut.
Persaudaraan sesama Muslim adalah satu kewajipan utama yang akan memaknakan erti syahadah yang kita lafazkan.
Kami melihat, ada empat prinsip utama dalam mendepani perbezaan pandangan yang perlu dipatuhi seluruh umat Islam.
Tidak membawa kepada perpecahan umat Islam.
* Perbezaan pendapat dalam perkara ijtihad adalah perkara biasa dalam Islam. Pun begitu, usahlah dilayankan emosi sehingga merosakkan kasih sayang dan perpaduan sesama kita.
Memelihara maruah sesama Muslim
* Perbezaan pandangan bukan tiket bagi seseorang menjatuhkan maruah seseorang. Sabda Nabi SAW: “Muslim yang satu dengan Muslim yang lainnya adalah bersaudara. Tidak boleh menyakiti, merendahkan, ataupun menghinanya,” (Riwayat Muslim, no. 4,650).
* Maruah adalah perkara yang berharga bagi seseorang Muslim. Maruah juga adalah lambang kemuliaan seseorang. Maruah ialah nilai-nilai kebaikan atau kemuliaan diri atau kehormatan diri.
Menghormati pandangan yang berbeza
* Firman Allah SWT: “Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu dalam agama Allah); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia…,” (Surah Hud: 118)
* Kalau Tuhan menginginkan manusia berada dalam satu kelompok, agama dan bangsa, ia tidak menjadi masalah bagi-Nya. Tetapi, Allah ingin mendidik manusia untuk belajar membina realiti kehidupan melalui perbezaan dan perkongsian dalam satu matlamat yang jelas, iaitu tatacara kehidupan sejahtera dan harmoni. Inilah yang perlu difahami dalam kerangka menghormati perbezaan pandangan.
Mengelakkan kata-kata kasar
* Kami teringatkan sebuah hadis Nabi SAW ketika mana Baginda berkata kepada Aishah: “Duhai Aishah! Zahirkanlah kelembutan kerana jika kelembutan ditemui dalam apa jua hal, ia akan mengindahkannya dan apabila ia dikeluarkan daripada sesuatu, ia akan merosakkannya,” (Riwayat Abu Daud, no. 4,808)
* Hati manusia akan condong kepada orang yang bersikap lemah-lembut kepadanya. Kami tidak katakan tidak kepada ketegasan dalam dakwah, namun ada perbezaan antara kasar dan tegas.
* Sikap tegas seseorang dalam menyampaikan ilmu usahlah sehingga menimbulkan mudarat yang lebih besar atau menghilangkan kebaikan yang lebih bermanfaat.
Semoga pembaca memperoleh manfaat daripada catatan ringkas ini. Baca untuk diri, sebar untuk ummah!