BANGI – Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdul Rahman Mt Dali telah melancarkan penubuhan rasmi Persatuan Usahawan Muslim Nasional atau nama singkatannya USMAN.
Dalam ucapannya, Abdul Rahman berkata, USMAN akan menjadi wadah bagi usahawan muslim membina kekuatan ekonomi umat Islam.
“Usahawan itu memiliki dua ciri utama, memiliki impian besar dan berani membuat keputusan untuk terjun dalam bidang perniagaan demi perjuangan agama.
“Kita mesti ingat jika kita bantu agama Allah, Allah pasti akan membantu kita termasuk perniagaan kita,” katanya di majlis pelancaran persatuan itu di Dewan Seminar Maghfirah Pustaka, Kajang pagi tadi.
Abdul Rahman yang merupakan pengarah di sebuah hospital swasta berkata, keusahawanan adalah satu medan tarbiyah yang bagus untuk melahirkan insan-insan hebat.
“Harapan saya USMAN dapat menganjurkan pelbagai inisiatif bagi mewujudkan usahawan hebat yang menyumbang untuk Islam,” katanya.
Pengerusi USMAN, Khalid Zakaria ketika ditemui Ismaweb berkata, keahlian USMAN akan dibuka kepada semua pihak dan tidak terhad kepada ahli Isma semata-mata.
“Kita akan meningkatkan prestasi keusahawanan kita di samping membina jaringan yang lebih besar di kalangan masyarakat.
“Kita juga berharap dapat membina jaringan dengan usahawan di luar negara, mengembangkan pasaran kita dan mewujudkan kerjasama ekonomi di kalangan umat Islam sedunia,” katanya. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
Sertai kempen Malaysia Subuh Berjemaah Bebaskan Al-Aqsa: bit.ly/subuhaqsa
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)