KUALA LUMPUR – Persidangan Antarabangsa Bagi Membela Baitulmaqdis bermula hari ini di Pusat Persidangan Antarabangsa Al-Azhar, Madinah Nasr, Kaherah, Mesir.
Agensi berita Palestin, yang memetik kenyataan Pejabat Sheikh Al-Azhar, melaporkan upacara pembukaan akan dimulakan dengan ucapan Sheikh Al-Azhar, Dr Ahmed Muhammad Ahmed El-Tayeb selaku Presiden Majlis Ketua-Ketua Umat Islam diikuti ucapan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
Persidangan itu, yang dinaungi Presiden Mesir Abdul Fattah as-Sisi, berlangsung selama dua hari dan dihadiri perwakilan dari 86 negara, termasuk Malaysia.
Malaysia diwakili Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Turut hadir Pope of Alexandria and Patriarch of the See of St Mark, Tawadros II; Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Dr Yousef Al-Othaimeen; Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit; Menteri Hal Ehwal Islam Saudi, Saleh bin Abdul-Aziz Al ash-Sheikh; Speaker Parlimen Arab, Meshal al-Selmi dan Setiausaha Agung Liga Dunia Islam, Dr Mohammed bin Abdul Karim Al-Issa.
Sesi pertama bertema ‘Identiti Arab Baitulmaqdis (amp) Misinya’ yang bakal dipengerusikan bekas Perdana Menteri Lubnan, Fouad Siniora, akan dibahagikan kepada empat topik iaitu Status Agama Universal Bagi Baitulmaqdis; Al-Quds dan Ketamadunannya… Sejarah dan Masa Kini; Kesan Mengubah Identiti Dalam Penyebaran Kebencian serta Menyangkal Dakwaan Zionis Mengenai Al-Quds dan Palestin.
Pada hari terakhir, persidangan dijangka membuat ketetapan dan mengeluarkan Deklarasi Kaherah mengenai Baitulmaqdis. – Bernama
www.indahnyaislam.my
Sertai kempen Malaysia Subuh Berjemaah Bebaskan Al-Aqsa: bit.ly/subuhaqsa
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)