Perspektif syarak tentang ‘bad marketing is good marketing’

Soalan

Assalamualaikum ustaz, dalam perniagaan zaman sekarang ada satu istilah iaitu Bad Marketing Is Good Marketing. Maknanya peniaga akan menggunakan apa sahaja cara yang biasanya mencetuskan kontroversi, sensasi, lantas mencetuskan perhatian dan kemarahan orang ramai lalu menjadi viral. Kesannya, peniaga tersebut akan mendapat publisiti atas kontroversi yang dicetuskan tadi, maka produknya makin laris, jenamanya makin dikenali orang ramai. Adakah perkara ini dibenarkan dalam Islam? Mohon pandangan pejabat mufti.

Jawapan Ringkas

Islam mengharuskan apa jua kaedah pemasaran yang ingin dilakukan peniaga untuk meraih keuntungan daripada perniagaan yang dijalankan selagi tidak bertentangan dengan prinsip syarak. Kaedah pemasaran dengan cara “bad marketing” dapat memberi liputan luas kepada sesebuah perniagaan. Namun begitu, kaedah pemasaran itu mestilah selari dengan kehendak syarak seperti tidak melakukan perkara-perkara yang haram, menimbulkan fitnah kepada Islam dan imej muslim dan sebagainya. Justeru, kaedah pemasaran sebegini tidak boleh dilakukan kerana bercanggah dengan prinsip-prinsip syarak.

Para peniaga dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dalam memilih kaedah pemasaran yang tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip syarak. Dapatkan juga nasihat daripada pihak-pihak berautoriti tentang kaedah dan batas-batas pemasaran yang ingin dilakukan. Moga-moga perniagaan yang dijalankan meraih keuntungan dan keberkatan di dunia dan di akhirat.

Huraian Jawapan

Pemasaran merupakan salah satu komponen penting dalam perniagaan. Ini adalah kerana pemasaran akan menyebabkan sesuatu jenama atau produk dikenali ramai dan seterusnya meningkatkan jualan syarikat. Oleh kerana itu, terdapat pelbagai kaedah pemasaran yang digunakan para peniaga untuk meraih hasil jualan yang banyak.

Dalam masa yang sama, terdapat beberapa pihak yang bersikap melampau dalam melakukan aktiviti pemasaran mereka. Sebagai contoh, menghina dan memaki hamun orang lain, provokasi, membuat kenyataan dan aksi kurang sopan, lucah, melakukan pemasaran dengan cara yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan lain-lain. Walaupun perbuatan-perbuatan tersebut diketahui tidak elok, namun mereka beranggapan bahawa ianya masih satu bentuk pemasaran untuk perniagaan mereka kerana perbuatan tersebut akan memberi publisiti kepada mereka. Inilah yang menjadi tanggapan mereka, bad marketing is good marketing.

Seorang peniaga muslim mestilah mengamalkan cara hidup hidup Islam yang menyeluruh termasuklah dalam perkara yang melibatkan pemasaran produk mereka. Hal ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT berikut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Surah al-Baqarah (208)

Para ulama menerangkan ayat di atas menuntut seorang muslim untuk sentiasa mengamalkan cara hidup islam yang menyeluruh, melakukan segala suruhan Allah dan tidak meninggalkan perkara yang dilarang. Dalam konteks permasalahan ini, seorang peniaga perlu berhati-hati dalam memastikan pemasaran yang ingin dilakukan mestilah mengikut apa yang telah digariskan syarak. (Rujuk Tafsir al-Razi 352/5[1]Tafsir Ibn Kathir 422/1[2])

Asal hukum bagi muamalat adalah harus selagi tidak melibatkan perkara-perkara yang haram. Ini adalah berdasarkan kaedah berikut:

‌الأصل ‌في ‌المعاملات ‌الإباحة إلا ما قام الدليل المعتبر شرعًا على تحريمه

Maksudnya: Hukum asal bagi perkara berkaitan muamalat adalah harus kecuali ada dalil atau perkara diharamkan syarak. (Rujuk Majallah Majma’ al-Fiqh al-Islami 892/5)

Antara perkara yang perlu diambil perhatian ketika melakukan aktiviti pemasaran adalah peniaga perlu elakkan daripada mengaibkan atau melaknat orang lain, mencarut serta menjaga setiap percakapan daripada perkataan yang buruk dan keji. Ini adalah berdasarkan sabda Nabi SAW:

ليس المؤمن بالطعان, ولا اللعان, ولا الفاحش, ولا البذيء

Maksudnya: Seseorang yang beriman itu bukanlah daripada golongan yang suka mengaibkan orang lain, bukan daripada golongan yang melaknat orang lain, bukan daripada golongan yang suka mencarut, dan bukan juga daripada golongan yang suka yang suka berkata-kata keji dan buruk.

Riwayat Tirmizi (1977)

Selain itu, peniaga juga dituntut untuk menjaga kehormatan diri dengan tidak melakukan perkara-perkara yang menjatuhkan maruah diri seperti menuturkan serta menggayakan aksi dan pakaian tidak sopandan seumpamanya. Ini adalah kerana perbuatan tersebut amat dilarang dalam Islam. Rujuk juga artikel lepas kami dalam Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-575:Hukum Mempromosikan Barangan Di Media Sosial Dengan Cara Memalukan.

Kesimpulan

Islam tidak menghalang apa-apa daya kreativiti peniaga untuk melakukan pelbagai kaedah pemasaran bagi meraih keuntungan. Namun begitu, kreativiti itu mestilah dalam rangka yang dibenarkan syarak. Asal hukum berkaitan pemasaran adalah harus selagi tidak melibatkan atau melakukan perkara yang haram. Justeru, konsep bad marketing is good marketing adalah tidak wajar untuk dilakukan seorang peniaga muslim kerana tidak bertepatan dengan syarak. – Muftiwp

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts