Pertis perlukan mesin braille belajar al-Quran

BACHOK – Kekurangan fizikal tidak membataskan ahli Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) mempelajari al-Quran menggunakan braille.

Bagaimanapun mereka yang rabun dan buta menghadapi kekangan untuk belajar dengan selesa kerana tiada kemudahan lengkap serta peralatan tidak mencukupi.

Tenaga Pengajar al-Quran braille Pertis Wilayah Kelantan, Wan Mohd Fadhil Wan Pauzi berkata, mereka mempunyai tiga mesin braille dan alat itu perlu ditambah kerana masih ramai ahli yang memerlukan.

Menurutnya, ketika sesi bersamanya, seramai sembilan pelajar memerlukan mesin braille dan ada yang masih tidak fasih menggunakan titik tulisannya.

“Jumlah itu masih tidak mencukupi kerana ramai yang perlu berlatih menaip braille,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Menurut Wan Mohd Fadhil, mereka kini menumpang di sebuah rumah di Beris, Bachok untuk meneruskan pengajian al-Quran selama dua jam seminggu.

Katanya, sehingga kini seramai 14 pelajar berusia antara 26 tahun hingga 60-an belajar al-Quran dan ramai yang tiada asas kerana faktor usia.

“Syukur kami ada tempat ini tetapi persekitaran yang tidak mesra orang kurang upaya (OKU) serta kurang sistematik menyebabkan kesukaran pergerakan,” katanya.

Sementara itu, Norizawati Abd latif, 50, yang mula belajar al-Quran braille sejak setahun lalu mengakui sukar dan perlu membiasakan diri untuk lebih mahir.

Norizawati yang berulang-alik dari Kampung Chengal Padang Kedondong dekat sini berjanji untuk terus belajar supaya dapat membaca al-Quran dengan lebih baik walaupun dalam serba kekurangan.

“Alhamdulillah, ramai kawan yang membantu dan guru al-Quran banyak berkongsi serta memberi tunjuk ajar,” ujarnya.

Seorang lagi pelajar, Mohd Zailani Mohd Noor, 35, juga berharap ramai yang sedia membantu OKU seperti mereka menuntut ilmu bukan sahaja akademik tetapi al-Quran.

Mohd Zailani sanggup berulang-alik dari Kampung Tersang, Rantau Panjang dengan menumpang rumah saudara terdekat atau rakan di Ketereh kerana mahu belajar al-Quran.

Pemuda itu juga pernah menempah kenderaan e-hailing atau teksi dengan bayaran antara RM70 hingga RM80 untuk ke tempat belajar.

“Pengorbanan kami mungkin kecil tetapi masih memerlukan penambahbaikan dalam aspek kemudahan dan peralatan untuk OKU,” katanya.- Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts