KUALA TERENGGANU – Pesakit Covid-19 tidak boleh mengambil mudah kewajipan berpuasa sekiranya penyakit dialami tidak termasuk dalam kategori uzur yang diberikan keringanan untuk berbuka puasa.
Mufti Terengganu, Profesor Madya Dr Mohamad Sabri Haron berkata, setiap pesakit perlu mengenalpasti tahap kesihatan mereka supaya dapat memanfaatkan sepenuhnya ibadah sepanjang Ramadan.
“Puasa adalah kewajipan. Jika uzur (sakit), kita perlu kenal pasti tahap keuzuran yang bagaimana. Jangan permudahkan, jika tidak termasuk dalam ruang lingkup uzur dan diberikan keringanan, tidak boleh berbuka puasa.
“Tetapi, sekiranya disahkan betul-betul uzur dan bahaya bagi kesihatan jika tidak berbuka, itu diberikan keringanan. Sungguhpun begitu, kewajipan berpuasa tidak boleh dipermudahkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Nadwah Ilmuan Islam di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, fadilat besar Ramadan akan terlepas sekiranya seseorang itu berpuasa pada hari yang lain iaitu bukan pada bulan Ramadan.
“Jika seseorang itu berpuasa kemudian batalkan puasa dan ganti pada hari lain. Sebenarnya hari dia ganti tu tidak sama dengan hari yang ada pada bulan Ramadan.
“Jadi, semua umat Islam usah ambil ringan. Sebab itulah, ibadat berpuasa memerlukan kita beriltizam (bersungguh-sungguh) untuk melakukan ibadah kerana ALLAH SWT,” katanya. – Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM