Tahun 2021 bakal melabuhkan tirainya dengan pelbagai kisah dan cerita yang bakal menjadi sejarah buat masyarakat dan negara. Berakhirnya tahun ini memperlihatkan banyak perkara yang sepatutnya kita laksanakan tertangguh disebabkan ketentuan Allah SWT yang menghadkan segala perancangan manusia yang amat lemah sifatnya.
Apabila disoroti, tahun ini dirasakan berlalu amat pantas sekali. Bulan berganti minggu, minggu berganti hari, hari berganti saat dan kini kita bakal berganti tahun yang baru. Situasi ini tidak lari daripada apa yang telah dikhabarkan oleh Baginda Nabi SAW tentang masa yang akan pantas berlalu apabila manusia berada pada akhir zaman.
Nabi SAW bersabda maksudnya “Tidak akan terjadi Hari Kiamat sehingga masa (zaman) pantas berlalu: Setahun seperti sebulan, sebulan seperti sejumaat (seminggu), sejumaat seperti sehari dan sehari seperti sesaat. Satu saat yang dimaksudkan adalah nyalaan api yang membakar ranting kering.” (Hadis riwayat Ahmad)
Dalam hadis yang lain, Baginda bersabda maksudnya: “Tidak akan berlakunya kiamat sehingga diangkatnya ilmu (ilmu semakin berkurang), banyaknya gempa bumi, masa pantas berlalu, terzahirnya fitnah, banyaknya al-Harj iaitu pembunuhan dan banyak dalam kalangan kamu harta yang melimpah ruah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Terdapat beberapa pandangan tentang maksud ‘masa pantas berlalu’ antaranya kurangnya keberkatan terhadap masa. Jika pada zaman dahulu, sehari dapat digunakan keseluruhannya untuk kebaikan, tetapi sekarang hanya beberapa minit atau saat sahaja.
Ibn Hajar RA berkata: “Ini telah berlalu pada zaman kita. Kita nampak hari-hari berlalu dengan pantas seperti yang belum pernah kita lihat pada zaman sebelum ini.
Jika diperhalusi, saat masa berlalu pantas, nilai ilmu juga semakin hari semakin berkurangan dengan seorang demi seorang ulama meninggalkan kita. Ada yang meninggal asbab virus Covid-19, ada disebabkan kemalangan dan ada yang meninggal secara tiba-tiba. Keadaan ini memberi gambaran bahawa, ilmu yang terdapat pada ulama yang menjadi pegangan dan pewaris kepada ajaran Baginda Nabi SAW mulai hilang sedikit demi sedikit. Tambahan pula pada ketika ini, pertelingkahan hari demi hari dalam kalangan asatizah yang memungkinkan banyak keburukan daripada kebaikan. Akibatkan, ilmu yang sebenar-benarnya perlu disebar luaskan menjadi penghalang akibat hilangnya amanah dalam keilmuan.
Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu sekali gus daripada hamba-Nya, tetapi Dia mencabut ilmu itu dengan mematikan ulama, sehingga tiada lagi ulama yang tinggal. Pada saat itu, manusia akan mengangkat pemimpin daripada kalangan orang yang bodoh. Dan ketika pemimpin itu ditanya sesuatu, maka akan keluar daripadanya fatwa yang tidak berasaskan ilmu sehingga mereka tersesat dan menyesatkan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Tidak sekadar ilmu yang hilang, hubungan silaturahim juga mulai terputus dek kerana penyokong dan pentaasub yang mula membanding-bandingkan nilai keilmuan dan akhirnya membawa kepada pergaduhan dan caci maki.
Saat ini kita mengakui bahawa, nilai keakraban di antara seseorang Muslim dengan Muslim yang lain tidak sebagaimana sebelum tibanya virus Covid-19 ini. Perhubungan melalui WhatsApp, telegram, voice call dan video call membantutkan kemesraan di antara satu sama lain. Nilai ukhuwah melalui ucapakan salam ‘Assalamualaikum’ tidak dapat dizahirkan secara sempurna, selain daripada ketakutan untuk bertemu dan mengelakkan daripada dijangkiti virus Covid-19 ini. Lebih menyedihkan manusia mula saling tidak mengenali dan sikap sombong mulai merajai diri.
Situasi manusia yang tidak saling mengenali ini bertitik tolak dari sikap sombong manusia sehingga terputusnya tali silaturahim lebih-lebih lagi semasa jiran tetangga. Nabi SAW bersabda daripada Abdullah bin Amr RA, maksudnya: “Hari Kiamat tidak akan berlaku sehingga orang yang dapat dipercayai didustakan, sedangkan orang-orang yang khianat dipercayai sehingga terzahirnya perkara kotor dan keji, terputusnya silaturahim dan hubungan jiran tetangga yang buruk.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Yusuf bin Abdullah bin Yusuf al-Wabil menjelaskan, sikap tidak saling mengenali ini akan terjadi ketika banyak fitnah dan cubaan berlaku. Puncanya disebabkan banyak terjadi peperangan di antara manusia kerana tujuan tertentu. Apabila manusia dikuasai oleh sikap kebendaan (materialistik) dan masing-masing bekerja serta berusaha untuk keuntungan peribadi, maka mereka sudah tidak menghiraukan kepentingan dan hak orang lain.
Perkara ini berkait rapat dengan sikap mementingkan diri sendiri yang sangat dibenci oleh Allah SWT. Manusia yang mempunyai sikap sebegini akan hidup dalam cengkaman hawa nafsu dan syahwat. Maka tiada lagi nilai-nilai akhlak yang membolehkan manusia kenal mengenali antara satu sama lain.
Tidak dinafikan, saat berlakunya musibah seperti banjir, ramai mereka yang pemurah dan sentiasa memberi perkhidmatan yang sebaik mungkin tanpa balasan apa-apa pun. Mereka sanggup korbankan harta, tenaga dan masa semata-mata ingin berbakti kepada mereka yang diuji. Mereka adalah sebenar-benar manusia yang ikhlas melakukan sesuatu dengan izin Allah SWT.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat ayat 13)
Manusia perlu kembali kepada ajaran Baginda Nabi SAW yang sebenar dan berusaha menghidupkan sunnah Baginda secara sempurna. Kitab al-Quran perlu dibaca dan difahami sentiasa. Bukan tertumpu pada bulan-bulan atau masa-masa tertentu sahaja. Ingatlah pesanan Baginda Nabi SAW: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Nabi-Nya.” (Hadis Riwayat Imam Malik)
‘Masa akan terus berlalu tanpa menunggu sesiapa pun maka, ilmu tidak akan datang tanpa dipelajari dan ilmu tanpa amal tiada manfaat pada buat sang penyendiri.’
Justeru, berpeganglah pada prinsip yang benar dan jangan melampai batas arus perubahan.
Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) – My Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM