Pilihlah teman pembantu perubahan

 

BARU-baru ini rakyat Malaysia digemparkan dengan pengakuan seorang artis yang berhijrah dikatakan kembali membuka tudung setelah lima tahun menutup aurat. Dalam masa yang sama juga kita turut menerima khabar gembira tentang hijrah seorang artis lain yang sebelum ini tidak menutup aurat mula mencuba untuk menutup aurat dengan lebih sempurna.

Saya tidak berminat untuk mempersoalkan niat keduanya apatah lagi berbincang lanjut mengenai kisah hijrah mereka, tapi apa yang berlaku membuatkan saya ingin berkongsi mengenai perubahan.

Salah satu syarat yang paling penting untuk berubah dan menjamin perubahan itu kekal dan konsisten adalah memastikan diri berada di kalangan kelompok yang betul. Ya, perubahan bermula dari keazaman dan kehendak diri. Namun kelompok yang betullah yang akan memastikan keazaman itu kekal dan konsisten.

Yang dimaksudkan kelompok yang betul adalah lingkungan sahabat dan orang terdekat yang sentiasa menyokong perubahan yang cuba dilakukan, positif terhadap azam dan sentiasa memperingatkan sahabatnya untuk tetap teguh demi perubahan ke arah lebih baik. Dengan adanya kelompok yang betul, maka pertarungan dengan nafsu dan syaitan yang bencikan perubahan ke arah kebaikan pasti akan lebih mudah ditangani.

Ingatkah kita kisah tentang seorang lelaki yang telah membunuh 100 nyawa, namun ingin bertaubat dan meninggalkan perbuatan dosa dan jenayahnya? Langkah pertama yang perlu dilakukan adalah menuju ke suatu perkampungan lain yang mempunyai kelompok yang mampu membantu perubahan bahkan bagi orang yang paling jahatpun.

Akhirnya meskipun tidak sempat tiba di perkampungan tersebut kerana diambil nyawanya di pertengahan jalan, niatnya yang kuat untuk berubah dan keazamannya yang dimulai dengan menuju ke perkampungan yang baik tersebut menjadi asbab baginya terlepas dari neraka.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Kahfi ayat 28:

وَٱصۡبِرۡ نَفۡسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ رَبَّہُم بِٱلۡغَدَوٰةِ وَٱلۡعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجۡهَهُ ۥ‌ۖ وَلَا تَعۡدُ عَيۡنَاكَ عَنۡہُمۡ تُرِيدُ زِينَةَ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا‌ۖ وَلَا تُطِعۡ مَنۡ أَغۡفَلۡنَا قَلۡبَهُ ۥ عَن ذِكۡرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ وَكَانَ أَمۡرُهُ ۥ فُرُطً۬ا

“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran”.

Melalui ayat ini Allah menunjukkan kepada kita bagaimana ciri sahabat atau kelompok yang baik yang harus menjadi pilihan kita. Merekalah orang yang tetap melakukan ibadah dan amalan hanya bagi mendapat keredhaan Allah. Sebaliknya, kelompok yang harus kita jauhi ialah mereka yang lalai dari mengingati-Nya dan cenderung tunduk dengan hawa nafsu, walaupun mungkin terlihat memberi manfaat duniawi bagi kita.

Sahabat yang baik bukan sekadar memberi galakan perubahan, malah akan saling bersaing dalam melakukan perubahan ke arah kebaikan. Melihat kelompok yang baik ini akan membuatkan kita lebih yakin bahawa perubahan itu mampu dilakukan sebagaimana mereka mampu melakukannya. Sebaliknya kelompok yang buruk bukan sahaja bersikap negatif terhadap keinginan kita untuk berubah, malah kita akan mudah kelelahan bertarung bersendirian.

Kedekatan kita dengan kelompok yang buruk lama-kelamaan akan melunturkan keazaman kita malah kita mula memejamkan mata daripada maksiat dan kelalaian mereka atas sangkaan mereka insan yang baik kerana memperlakukan kita dengan baik. Hakikatnya tanpa kita sedari kelompok ini menyeret kita lebih jauh daripada mengingati-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Furqan ayat 27-29:

وَيَوۡمَ يَعَضُّ ٱلظَّالِمُ عَلَىٰ يَدَيۡهِ يَقُولُ يَـٰلَيۡتَنِى ٱتَّخَذۡتُ مَعَ ٱلرَّسُولِ سَبِيلاً۬ يَـٰوَيۡلَتَىٰ لَيۡتَنِى لَمۡ أَتَّخِذۡ فُلَانًا خَلِيلاً۬ لَّقَدۡ أَضَلَّنِى عَنِ ٱلذِّڪۡرِ بَعۡدَ إِذۡ جَآءَنِى‌ۗ وَڪَانَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ لِلۡإِنسَـٰنِ خَذُولاً۬

“Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)”.

Pergaulan dengan lingkungan memungkinkan kita berubah, mengubah atau diubah sama ada kita sedar atau tidak. Sama ada kita menjadi agen yang mengubah yang dicari oleh mereka yang ingin berubah, atau kita berubah dengan sokongan dan pengaruh lingkungan, ataupun kita diubah dari tujuan perubahan ke arah kebaikan menuju ke arah keburukan.

Oleh itu,apa jua perubahan ke arah kebaikan yang kita inginkan sama ada menutup aurat lebih sempurna, menjauhi tempat dan aktiviti maksiat, meningkatkan ilmu dan amal soleh dan lain-lain, pilihlah kelompokmu. Dan perhatikanlah kelompok yang sedia ada di sekelilingmu. Adakah mereka yang akan menanyakan perihal kita bilamana didapati kita tidak berada di kalangan mereka di syurga? Ataukah mereka yang akan membuatkanmu menggigit kedua tanganmu penuh penyesalan di akhirat kelak?

“Jika penghuni syurga telah masuk ke dalam syurga, lalu mereka tidak menemukan sahabat-sahabat mereka yang selalu bersama mereka dahulu waktu di dunia, maka mereka pun bertanya kepada Allah, ‘Ya Rabb, kami tidak melihat sahabat-sahabat kami. Sewaktu di dunia kami selalu bersama, kami solat bersama mereka, kami puasa bersama mereka dan kami berjuang bersama mereka. Dan Allah pun berfirman, ‘Pergilah ke neraka, lalu keluarkanlah sahabat-sahabatmu yang di hatinya ada iman walaupun sekecil zarah,’” (HR Ibnu Mubarak dalam Kitab az-Zuhd).

Ustazah Kauthar Binti Jamalludin
Ketua Wanita ISMA Hulu Langat

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
2 comments
  1. Assalamualaikum…
    Bagaimana cara untuk kuatkn diri berhijrah ke arah yg lebih baik tanpa sokongan dn teman di sisi

    1. Wslm, banyakkan bersama Allah, munajat dan muhasabah. Walaubagaimanapun, realiti kita hidup bersama manusia dan tak boleh lari daripada interaksi dengan manusia. Maka solusi terbaik adalah sentiasa cari teman atau kawan atau suasana orang-orang yang baik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts