PLURALISME (politik) menghendaki tiada mana-mana pihak boleh mendiamkan mana-mana pihak. Di Malaysia, tiada mana-mana pihak boleh mendiamkan puak liberal sekular dan pejuang LGBT.
Saya tidak bercakap tentang amarah dalam diri saudara menentang kemungkaran. Saya bercakap pasal realiti politik di Malaysia sekarang, tidak seperti tahun 80an dahulu.
Dulu, mana-mana budak lelaki pakai pakaian perempuan, mana-mana budak perempuan pakai pakaian lelaki, dihukum lempang aje, oleh bapa saudara (tak perlu tunggu bapak sendiri).
Dia balik tukar baju, lepas tu baru syarah kenapa kena lempang dan kenapa tingkah lakunya salah.
Tapi sekarang dah berubah.
Jika dia memekik meneriak LGBT itu bagus dan ikut fitrah, kita pun “dipaksa” memekik dan meneriak juga untuk bagi tahu benda itu songsang dan mengundang bala.
Ada pihak berkuasa ambil tindakan? Sekadar majlis fatwa isytihar sesat aje, adalah. Tangkap? Tidak akan berlaku, kerana tidak mahu kontroversi dan dituduh mendiskriminasi golongan minoriti.
Bible bahasa Melayu yang dirampas pun dipulangkan balik. Nak tangkap orang?
Lebih-lebih lagi apabila mereka melaungkan “majority tyranny!”, macam budak-budak melaungkan “hantu! hantu!” apabila melihat pokok bergoyang di malam hari.
Pernah ada pengalaman dengan budak manja mengada-ngada yang dilindungi orang tua? Naik lemak.
Malangnya dalam kes puak liberal dan LGBT minoriti ini, “orang tua” yang melindungi itu bukan bodoh atau kasihan, tapi dia memang ada kepentingan. Survival politiknya di situ.
Kita kan majoriti? Takut apa?
Mungkin majoriti tidak ambil tahu
Mungkin majoriti sebenarnya diperintah cengkam oleh minoriti
Mungkin majoriti sendiri adalah minoriti kerana masing-masing jaga kepentingan puak masing-masing sahaja
Mungkin majoriti sibuk fikir beban hidup dengan kos yang semakin meningkat
Akhirnya minoriti yang bersuara melawan kesongsangan, menentang kemungkaran dan melaungkan suara Islam, terpaksa ke depan sendirian.
Terpaksa ke depan kerana tanggungjawab agama. Soal pahala dan dosa. Soal syurga dan neraka.
Ke depan sendirian, harap-harapnya ada sokongan daripada majoriti di belakang.
Ternyata ada sokongan majoriti di belakang. Tetapi tidak ubah seperti sokongan majoriti terhadap Qaradawi, Hamas dan Ikhwanul Muslimin di Qatar. Hakikatnya, Qaradawi, Hamas dan Ikhwanul Muslimin kena fikir sendiri bumi mana mahu berhijrah.
Wahai minoriti pejuang Islam! Itu bukan sejarah orang. Bahkan itulah sejarah para nabi. Itu sejarah kamu. Dan kamu sedang dan bakal menempuhinya.
Kesedaran kita tentang realiti ini tidak pernah pudar, sebagaimana harapan kita pada Allah dan janji kemenangan-Nya tidak pernah putus.
Kita hanya berusaha. Usaha kita itu hanyalah sebahagian daripada takdir Allah. Kita akan pergi menemui Allah, kemungkinan sebelum tahu kesudahan takdir perjuangan ini.
Ambillah bahagian masing-masing, dalam silsilah perjuangan para Nabi dan Rasul ini.
Tinggalkan bekas dan kesan perjuangan yang nyata dan signifikan, agar senang dikenali pewaris perjuangan Nabi di akhirat kelak.
والعاقبة للمتقين ، ولكن أكثر الناس لا يعلمون
Ustaz Haji Mohd Hazizi Ab Rahman
www.indahnyaislam.my