BAGI mendorong lebih ramai wanita Muslim menyertai pasukan polis New Zealand, buat pertama kalinya pemakaian hijab diperkenalkan.
Rekaan itu diperagakan oleh seorang anggota polis bernama Zareena Ali.
Difahamkan, Zareena jugalah yang merupakan pereka hijab tersebut.
Menurut laporan NZ Herald, Zareena menyertai pasukan polis sejurus selepas kejadian serangan terhadap dua buah masjid di Christchurch pada tahun lalu dengan niat ingin membantu komuniti Islam.
Kata Zareena, pasukan polis amat memerlukan lebih ramai wanita Muslim bagi membantu kejadian seumpama itu yang mensasarkan orang Islam.
“Kebanyakkan wanita Muslim begitu takut untuk bercakap dengan polis dan mungkin hanya akan berdiam diri di depan pintu rumah jika ada seorang lelaki yang bercakap dengan mereka.
“Jadi, lebih ramai wanita Muslim diperlukan dalam pelbagai pasukan barisan hadapan dalam usaha mengurangkan jenayah,” katanya.
Menurut Zareena, dia bangga menjadi anggota polis wanita pertama memakai tudung, dan merasa hebat kerana dapat menunjukkan bahawa pasukan Polis New Zealand kini mempunyai pakaian seragam berhijab.
“Saya rasa selepas melihatnya, lebih ramai wanita-wanita Muslim turut mahu sertai pasukan polis,” tambahnya.
Pada tahun 2008, polis membenarkan pemakaian serban ke dalam seragam itu dan Nelson Constable Jagmohan Malhi menjadi pegawai pertama yang memakainya ketika bertugas. -Sinarplus