Politik Islam, Melayu jaga kepentingan semua kaum: MIC

 

BANGI – Politik Islam dan bangsa Melayu terbukti melindungi kepentingan semua pihak, sebelum dan pasca kemerdekaan negara lagi, kata Pengerusi MIC Johor, R Vidyananthan.

“Politik mereka (orang Islam dan Melayu) adalah politik beradab dan tidak pernah menyinggung serta menyakiti. Politik Melayu – Islam adalah politik yang menjaga dan menghormati.

“Namun begitu, jika hak dan identiti mereka tidak dibela, jika ekonomi, pendidikan dan institusi mereka saban hari diancam dan disindir-sindir, maka api ketidakpuasan akan membara,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kahang itu berkata, anak-anak kaum India dan Cina telah diberi pendidikan, pekerjaan dan peluang untuk memajukan diri dan nasib mereka.

“Ya, mungkin ia tidak sempurna, tetapi jika politik Melayu – Islam ini adalah politik ‘Taliban’ dan ekstrem, maka tidak akan ada seorang pun anak-anak selain Melayu yang berpendidikan tinggi dan berharta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau kesal dengan kenyataan Adun Mengkibol, Chew Chong Sin beberapa hari lalu yang menyifatkan penyatuan politik UMNO-PAS akan menghasilkan naratif berkisar agama dan bangsa serta menyebabkan tindakan ekstrem sama seperti tragedi di New Zealand, Jumaat lalu.

 

 

“Saya amat menyesali kenyataan Adun Mengkibol lebih-lebih lagi apabila ia datang daripada mulut seorang ahli politik dan wakil yang dipilih oleh rakyat ke institusi demokrasi tertinggi negeri. Naratif ini, yang dikongsi oleh pembuat dasar Pakatan Harapan lain.

“Mereka berfikir bahawa penyatuan PAS dan UMNO akan menjadikan negara ini tidak stabil, tidak toleran dan akan merugikan perpaduan nasional,” katanya.

Justeru, Vidyananthan menyifatkan kenyataan Chong Sin sebagai satu kenyataan yang salah kerana, katanya, orang Melayu mempunyai semangat toleransi dan bersangka baik yang tinggi terhadap perbezaan.

Terdahulu, sebuah portal tempatan melaporkan bahawa Chong Sin mendakwa insiden tembakan di Christchurch menjadi pengajaran kepada Malaysia mengenai perlunya mengekang gejala ekstremisme.

Chong Sin turut bimbang kerjasama UMNO dan PAS mampu menimbulkan naratif berkisar mengenai isu kaum dan agama. Bagaimanapun, kenyataan itu ditarik balik selepas mendapat kecaman pelbagai pihak. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts