PPZ-MAIWP ajak orang ramai berzakat sebelum 31 Disember

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan kutipan zakat berjumlah RM800 juta pada tahun ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, setakat Oktober lalu, sejumlah RM577 juta zakat telah dikutip dan sebanyak RM555 juta telah diagihkan melalui 30 program di bawah MAIWP.

Menurutnya, ke arah mencapai sasaran tersebut, PPZ-MAIWP melancarkan Kempen Year End Zakat @ YEZ 2021 bagi menguar-uarkan kepada masyarakat Islam perkhidmatan dan kemudahan saluran bayaran zakat.

“Jika mengikut trend kebiasaan masyarakat Islam di Malaysia memilih untuk berzakat pada hujung tahun iaitu pada Disember selain Ramadan.

“Besar harapan saya kempen ini dapat meningkatkan lagi kutipan dan bilangan pembayar zakat agar lebih ramai asnaf dapat dibantu.

“Sebelum pandemik seramai 20,000 keluarga telah menerima bantuan bulanan dan jumlah itu meningkat kepada 27,000 ketika pandemik sehingga kini,” katanya pada pelancaran Kempen Year End Zakat@YEZ 2021 di Wisma PPZ-MAIWP Taman Shamelin, di sini pada Isnin.

Abdul Hakim berkata, kesedaran masyarakat menunaikan kewajipan berzakat juga menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

“Secara logik akal apabila berlakunya pandemik keadaan ekonomi juga akan menurun, kemampuan untuk berbelanja kurang namun perancangan ALLAH SWT, ketika pandemik ramai yang berzakat berganding bahu sama-sama membantu.


“Jumlah kutipan tahun lepas mencapai RM756 juta meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya. Ia merupakan peratusan kedua tertinggi sejak PPZ beroperasi selama 30 tahun,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, kempen bermula 15 November hingga 31 Disember itu terbuka kepada semua tanpa had bayaran dan menawarkan lima hadiah utama iaitu Thermomix, vakum Dyson V12, Iphone 13 mini, Samsung Galaxy Z dan sijil simpanan premium selain hadiah-hadiah sampingan lain.

“Saluran bayaran zakat boleh dibuat melalui kaunter PPZ-MAIWP atau www.zakat.com.my, alpikasi MyZakat, kaunter zakat digital, kaunter bergerak, Ride2U, perbankan internet dan ejen-ejen PPZ-MAIWP.

“Sepanjang November dan Disember, 10 kaunter PPZ-MAIWP akan beroperasi seperti biasa dari jam 8.15 pagi hingga 4.45 petang. Pada bulan Disember, kaunter dibuka setiap hari termasuk cuti umum,” katanya. -Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM


Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts