BANGI – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan isu tular premis makanan warga Arab yang menjual menu tidak halal seperti dilaporkan media baru-baru ini, bukan di Malaysia.
Perkara itu dijelaskan Bahagian Hab Halal Jakim dalam kenyataan hari ini, susulan tular di media sosial satu artikel bertajuk ‘Lelaki termakan sosej kari babi gara-gara sangka semua kedai Pak Arab halal! Siap ‘review’ rasa lemak-lemak’
Menurut Jakim, berdasarkan hasil semakan pihaknya, isu itu sebenarnya berlaku di sekitar negara Eropah, bukan di Malaysia.
Bagaimanapun, Jakim menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu sebelum memilih mana-mana premis untuk menjamu selera.
“Bagi rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara, logo-logo halal Badan Pensijilan Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh Jakim boleh dijadikan sebagai panduan sebelum anda memilih sesuatu produk atau premis.
“Oleh itu, dinasihatkan kepada para pengguna supaya mengutamakan premis yang dipersijilkan halal oleh pihak berkuasa berwibawa dan yakini halal Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan hantaran tular seorang lelaki dikenali sebagai Hafiz di Facebook yang meminta orang ramai berhati-hati ketika makan di restoran Arab atau Turkiye di luar negara.
Lelaki itu mendakwa, ada sesetengah mereka yang bukan beragama Islam tetapi melabelkan makanan yang dijual sebagai halal.
Dalam kes ini, ekoran menyangkakan bahawa semua premis yang menjual kebab dan shawarma di negara yang dilawatinya iaitu Jerman adalah halal, lelaki tersebut tanpa usul periksa membeli hidangan sosej berupa Currywurst yang disangkakan ayam, walhal ianya adalah daging babi.
Untuk makluman Currywurst ialah hidangan makanan segera popular Jerman, terdiri daripada sosej dihidang bersama kari yang dikukus, digoreng dan biasanya adalah daging babi.- Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM