Prioriti pasca banjir: Antara solidariti dan muhasabah

ISLAM telah mengajarkan kepada umat manusia untuk sentiasa bersedia, ikhlas, tabah dan bersabar dalam menghadapi ujian dan musibah daripada Allah SWT. Baru-baru ini Malaysia diuji dengan banjir yang telah melanda beberapa buah negeri. Perkara ini telah menyebabkan ramai masyarakat sama ada yang Islam mahupun bukan Islam terjejas akibat banjir tersebut.

Sebagai orang Islam yang tidak dilanda musibah berkenaan maka keutamaan ketika ini adalah berusaha membantu mereka yang terjejas akibat daripada banjir tersebut. Janganlah ditambah duka yang sedia ada dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang seolah-olah mengajak muhasabah tetapi dalam masa yang sama menimbulkan persepsi hina terhadap mereka yang dilanda banjir.

Dalam konteks pasca musibah ini seharusnya rakyat Malaysia terlebih dahulu mengutamakan aspek solidariti bagi membantu mereka diluar sana yang terkesan dan terjejas akibat musibah banjir ini.

Hal ini kerana, dari sudut maqasid syariahnya adalah hifz al-nafs (menjaga nyawa) lebih diutamakan dalam pasca musibah mahupun bencana ini. Benar, muhasabah itu penting kerana ia dapat memperbaiki diri dan meningkatkan lagi ketakwaan kepada Allah SWT.

Namun, perkara berkenaan sesuai dilakukan selepas keadaan kembali reda dan stabil. Maka, pada masa tersebut barulah dimuhasabah sama ada yang berlaku ini disebabkan kemurkaan Allah SWT di atas maksiat yang dilakukan mahupun disebabkan perubahan struktur alam yang berpunca daripada tangan-tangan manusia yang melakukan kerosakan terhadap alam dan seumpamanya.

Satu persoalan yang boleh ditimbulkan berhubung topik ini ialah apakah mereka yang tidak ditimpa musibah lebih mulia berbanding yang kena musibah? Pertamanya, perlu jelas tentang tujuan Allah SWT memberikan ujian atau musibah kepada hamba-hambaNya adalah untuk melihat siapakah di antara mereka yang sabar di atas ketentuanNya dan baik amalannya.

Jika diperhatikan musibah yang Allah SWT timpakan ke atas setiap individu adalah berbeza-beza mengikut kemampuan hambaNya. Ini bermaksud, semua hambaNya akan diuji.

Jangan dilihat mereka yang dilanda banjir sahaja menerima musibah sehingga merasakan orang yang tidak dilanda banjir ini mempunyai kedudukan lebih mulia. Walhal, setiap individu ada ujian atau musibahnya tersendiri. Dalam hal ini, ada manusia yang Allah ujinya dengan penyakit, ada yang diuji dengan hilangnya pekerjaan, kehilangan orang-orang tersayang dan pelbagai ujian dan musibah lagi.

Bahkan, setiap ujian atau musibah yang ditimpakan ke atas hamba-hambaNya sudah pasti bukan untuk menzalimi mereka tetapi sesuai dengan kemampuan mereka dalam menghadapinya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud, “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia mendapat (pahala) daripada (kebaikan) yang dilakukannya dan dia mendapat (seksaan) daripada (kejahatan) yang dilakukannya.”

Tidak dinafikan memang terdapat hadith Nabi SAW yang menyebutkan bahawa, Sesiapa yang melihat seseorang yang diuji, maka katakanlah: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan aku daripada sesuatu yang Allah berikan sebagai ujian kepadamu dan Allah telah memberikan kemuliaan kepadaku melebihi kebanyakan orang.” Maka dia tidak akan ditimpa musibah. (Riwayat al-Tirmidhi).

Berhubung hadis ini, al-Tibi menyebutkan bahawa doa ini hanya sesuai untuk mereka yang diuji disebabkan perlakuan maksiat atau kefasikan (melakukan dosa) sahaja.

Manakala, sekiranya seseorang atau kelompok masyarakat itu diuji dengan kesakitan, kurang upaya dari segi cacat fizikal, bencana dan lain-lain maka doa ini tidak sesuai dan tidak wajar untuk dibacakan doa ini (Tuhfah al-Ahwazi).

Oleh kerana itu, bagi mereka yang ditimpa dengan musibah banjir kali ini perlulahsentiasa bersabar kerana ia merupakan sifat orang-orang yang bertakwa. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 177 yang bermaksud, “Dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan fi sabilillah.

Orang-orang yang demikian sifatnya, mereka itulah orang-orang yang benar beriman dan mengerjakan kebajikan dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.” Bahkan, dalam satu hadith Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya sabar itu ketika menerima musibah buat kali pertama” (Muttafaq ̒Alayh). Dalam satu ayat yang lain, Allah SWT menegaskan bahawa setiap apa yang berlaku adalah ketentuan yang terbaik daripada Allah SWT kepada hamba-hambaNya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud, “Dan boleh jadi kamu tidak menyukai kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”

Berdasarkan firman Allah SWT tersebut, dapat dirumuskan bahawa mereka yang ditimpa musibah seperti banjir bukanlah semestinya mempunyai kedudukan hina di sisi Allah SWT, melainkan mereka yang teruji disebabkan perlakuan maksiat dan mengingkari petunjuk syariat Allah SWT. Lebih-lebih lagi jika mereka bersabar dalam menempuhi ujian dari Allah SWT, sudah pasti Allah SWT akan memberikan kebaikan serta tambahan pahala kepada mereka atas kesabaran tersebut. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 155-157.

Sebagai kesimpulan, setiap pihak sama ada kerajaan, swasta, NGO dan seluruh masyarakat perlu bekerjasama membantu kesemua mangsa-mangsa yang terlibat dengan banjir baru-baru ini. Bantuan boleh diberikan dalam pelbagai bentuk seperti bantuan kewangan, tempat perlindungan, peralatan kelengkapan rumah, baju dan pelbagai lagi.

Disamping itu, titipkan doa agar Allah SWT memberikan ketabahan dan dipermudahkan urusan mereka yang ditimpa musibah. Nabi SAW bersabda, “sesiapa bertakziyah kepada orang yang ditimpa musibah, maka dia akan mendapatkan sebagaimana pahalanya.” (Riwayat Ibn Majah)

Dari satu aspek yang lain, masyarakat perlu menghindari tanggapan buruk ke atas mangsa-mangsa yang terlibat. Dalam hal ini elakkan daripada memberikan kata-kata yang negatif kepada mereka yang sedang berdukacita atas ujian yang menimpa.

Sebaiknya, terus membantu dan menceriakan hati mereka agar ia menjadi satu amal jariah kepada kita semua. Sebagai hamba Allah SWT kita seharusnya bersabar dan tabah dalam apa jua keadaan yang berlaku kerana semua itu adalah qada’ dan qadar Allah SWT sebagai peringatan kepadahamba-hambaNya agar tidak terus lalai dan leka dalam kemewahan hidup di dunia. Moga Allah SWT menyelamatkan kita semua daripada segala bala bencana dan memudahkan urusan kita dunia dan akhirat. – MalaysiaGazette

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts