BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang merampas pelbagai produk makanan bernilai RM54,402.90 kerana menyalahgunakan penandaan logo halal pada barangan dalam pemeriksaan di sebuah premis di Bukit Tengah, di sini.
Pengarahnya Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata KPDNHEP negeri telah membuat pemeriksaan di premis dipercayai memproses barangan makanan berkenaan pada 11 pagi hasil aduan orang ramai dan mendapati beberapa barangan di situ menggunakan penandaan logo halal tanpa diperakukan oleh pihak berkuasa.
“Semasa pemeriksaan dijalankan kami mendapati premis itu mengeluarkan beberapa jenis barangan seperti minyak bijan, minyak biji sawi, air ros (mawar), air lemuju dan kapur yang menggunakan penandaan logo halal tanpa diperakukan oleh pihak berkuasa berwibawa.
“Ekoran itu, KPDNHEP Pulau Pinang telah menyita 4,392 unit minyak bijan, minyak biji sawi (3,192 unit), air ros (mawar) (7,968 unit), air lemuju (2,580 unit) dan 5,916 unit kapur yang kesemuanya bernilai RM54,402.90 kerana menggunakan penandaan logo halal tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan.
Katanya kes itu disiasat menurut Akta Perihal Dagangan 2011 dan KPDNHEP Pulau Pinang memberi amaran kepada peniaga supaya beretika serta tidak menggunakan penandaan halal tanpa diperakui halal oleh pihak berkuasa. – Bernama
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM