KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneliti semula proses permohonan sijil halal bagi industri makanan, agar prosedurnya dapat dipermudahkan, namun masih memenuhi piawaian halal yang ditetapkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, urusan berkaitan mendapatkan pensijilan halal untuk sesuatu produk makanan, seharusnya tidak membebankan pihak yang memohon.
“Kerajaan memang bercadang untuk meneliti hal berkaitan pensijilan halal secara menyeluruh, agar segala isu dihadapi pihak industri dalam mendapatkan sijil halal, tidak lagi menjadi masalah. Kita akan cuba memudahkan bukan menyukarkan lagi.
“Cuma proses berkenaan perlu lengkap dan disempurnakan mengikut syarat-syarat dan piawaian yang ditetapkan. Tambahan pula dalam situasi ketika ini yang dalam PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) dan normal baharu. Pastinya lebih perlu dimudahkan,” katanya selepas melancarkan ‘Virtual Halal School’ di Menara Arina-UNITI di sini, hari ini.
Zulkifli berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan pihak-pihak yang menggunakan sijil halal tidak sah pada produk makanan, sehingga mengelirukan pengguna khususnya umat Islam.
Zulkifli berkata, antara aspek yang akan dilihat misalnya berkaitan tempoh masa yang lebih pendek dan borang atau dokumen berkaitan permohonan sijil halal itu.
“Pada masa sama orang awam terutamanya umat Islam juga perlu sentiasa teliti, terhadap logo halal yang dipamerkan pada produk yang dibeli, serta memastikan logo digunakan adalah asli dan diiktiraf oleh pihak berwajib,” katanya.
Mengenai Virtual Halal School, yang merupakan inisiatif pembelajaran bagi menyebar luas input serta isu berkaitan aspek halal secara maya oleh Pusat Kecemerlangan Halal Kolej UNITI (UHAC) beliau berkata, usaha itu akan menyuburkan lagi industri halal di negara ini.
Buat permulaan Virtual Halal School menganjurkan ‘Virtual Halal Summer Camp’ (VHSC) 2020 bermula hari ini sehingga 31 Oktober dengan tema: Memahami Halal dalam Industri dan Kehidupan, melibatkan sesi pembelajaran interaktif dalam talian oleh 17 tenaga pakar.
Maklumat lanjut mengenai Virtual Halal School boleh didapati di laman Facebook rasminya; Virtual Halal School. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)