Pulau Pinang kehilangan tokoh ulama

GEORGETOWN: Pemergian Allahyarham Datuk Syeikh Abdullah Abdul Rahman atau lebih dikenali Sheikh Datuk Abdullah Bukhari, 89, semalam kehilangan besar buat dunia dakwah Islam di Pulau Pinang khususnya dan negara amnya.

Allahyarham adalah bekas imam Masjid Kapitan Keling sejak 1972 sehingga 31 Disember 2018 dan meninggal dunia kira-kira pukul 11 pagi semalam kerana sakit tua.

Difahamkan, Allahyarham yang merupakan Tokoh Maal Hijrah 1960 dan tokoh ulama bagi masyarakat Islam khususnya masyarakat India Muslim meninggal dunia di rumahnya di Kampung Makam di sini.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Makam Noordin di Masjid Kapitan Keling di sini selepas solat asar semalam.

Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa Pulau Pinang (IPSI), Datuk Kamarudin Abdullah berkata, beliau mengenali Sheikh Abdullah Bukhari sejak lebih 30 tahun lalu semasa mula bergiat aktif dalam dunia dakwah Islam.

“Allahyarham antara tokoh yang banyak menyokong usaha dakwah saya dan beliau sangat menghargai usaha dan perjuangan saya dalam menyebarkan dakwah di negeri ini.

“Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat dunia dakwah dan pendidikan Islam. Beliau sangat dinamik, bertolak ansur dan sangat merendah diri walaupun tinggi ilmunya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Kamarudin, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang mengenali Sheikh Abdullah Bukhari ialah Allahyarham kerap memintanya membeli kitab-kitab karangan ulama terkenal jika beliau mengembara ke Mekah dan Madinah.

“Saya tidak pernah lupa membeli kitab-kitab karangan ulama yang dipesan oleh Allahyarham yang sememangnya suka membaca kitab ilmuwan terkenal.

“Banyak mutiara kata dan nasihat yang Allahyarham sampaikan kepada saya seperti jangan lupa solat, sentiasa bersedekah dan sebagainya yang tidak akan saya lupakan,” katanya.

Tambahnya, ahli kariah Masjid Kapitan Keling dan masyarakat Islam pasti akan merindui kuliah yang disampaikan oleh Allahyarham setiap Selasa selepas ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menerusi catatan di laman Facebook beliau turut berkongsi kesedihan selepas mendapat berita mengenai pemergian Sheikh Abdullah Bukhari.

“Saya menerima khabar duka hari ini (semalam), berita akan pemergian Datuk Sheikh Abdullah Bukhari al-Hafiz, tokoh yang banyak berjasa dalam perkembangan umat Islam rantau ini.

“Semoga Allah merahmatinya, menerima segala amalannya dan ditempatkan rohnya dalam kala­ngan solihin,’’ katanya. – Utusan

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts