Qatar perkenalkan keindahan Islam pada Fifa World Cup 2022

Dalam suasana penuh debaran kita menantikan pembentukan kerajaan di Malaysia, semalam berlakunya majlis pembukaan besar-besaran FIFA WORLD CUP 2022 di Qatar. Paling menakjubkan apabila acara antarabangsa ini banyak diselitkan mesej-mesej pengenalan tentang Islam. Antaranya:

  1. DIALOG ANTARA MORGAN FREEMAN DAN GHANIM AL-MUFTAH

Antara cara yang banyak menarik perhatian ribuan penonton yang hadir adalah kemunculan pelakon terkenal Hollywood, Morgan Freeman dan seorang pemuda berusia 20 tahun, Ghanim Al-Muftah yang merupakan ikon pemuda Qatar serta duta FIFA World Cup 2022. Mereka berdialog tentang “Bagaimana kepelbagaian manusia boleh hidup dengan harmoni di bawah satu bumbung?”

Kemudian Ghanim Al-Muftah membacakan surah Al-Hujurat ayat 13 di hadapan semua penonton seperti firman Allah SWT:

يٰٓاَيُّهَا النَّاسُ اِنَّا خَلَقْنٰكُمْ مِّنْ ذَكَرٍ وَّاُنْثٰى وَجَعَلْنٰكُمْ شُعُوْبًا وَّقَبَاۤىِٕلَ لِتَعَارَفُوْا ۚ اِنَّ اَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللّٰهِ اَتْقٰىكُمْ ۗاِنَّ اللّٰهَ عَلِيْمٌ خَبِيْرٌ

Maksudnya: “Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari laki-laki dan perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti.”
(Surah Al-Hujurat: 13)

  1. HADIS RASULULLAH SAW DI DINDING STADIUM

Pihak penganjur memanfaatkan Stadium Al Bayt yang besar untuk mempamerkan hadis-hadis Rasulullah SAW kepada para pengunjung di dinding-dinding stadium. SubhanAllah, mudah-mudahan usaha tersebut menjadi asbab hidayah dimasukkan ke dalam hati para pengunjung.

  1. BAR CODE DALAM SETIAP BILIK HOTEL

Satu usaha yang sangat baik pihak penganjur untuk perkenalkan para pengunjung dengan Islam iaitu meletakkan bar code yang mengandungi perkara-perkara asas tentang agama Islam. Di sini para tetamu sedikit sebanyak mendapat pendedahan tentang keindahan Islam yang harmoni.

  1. LAUNGAN AZAN DI STADIUM

Sepanjang pertandingan FIFA dijalankan di Stadium Al Bayt, para muazzin diminta untuk melaungkan azan sebanyak 5 kali sehari sebagai tanda masuk waktu solat sewaktu perlawanan berlangsung. Mereka menjemput para muazzin yang mempunyai suara merdu dan sebenarnya ini antara kaedah untuk berdakwah kepada orang bukan Islam.

Suara yang merdu boleh memikat hati pendengar sehingga melekat di dalam fikiran mereka. Mudah-mudahan laungan kalimah Allah dan Rasulullah yang dilaungkan menjadi asbab hidayah kepada ramai pengunjung, insyaAllah. 🤲

  1. 2,000 PENDAKWAH MENYAMPAIKAN ISLAM, LEBIH 500 MENGUCAPKAN SYAHADAH

Pihak penganjur menjemput seramai 2,000 orang pendakwah yang bersedia untuk menyampaikan kefahaman tentang kebaikan Islam kepada para pengunjung. Mereka disediakan 10 buah kereta dan 10 khemah bagi memudahkan urusan berdakwah serta proses syahadah.

Dimaklumkan seramai lebih 500 orang telah mengucapkan syahadah sepanjang FIFA World Cup berlangsung. Kita doakan semoga bilangan ini akan terus bertambah hingga selesai perlawanan, insyaAllah. 😊

  1. RUANG SOLAT DAN WUDHUK YANG BANYAK

Pihak penganjur juga menyediakan tempat solat yang luas dan tempat wudhuk yang banyak bagi memudahkan umat Islam menunaikan tanggungjawab mereka 5 kali sehari. Ini antara contoh untuk menganjurkan sesuatu acara hiburan dalam masa yang sama tetap menjaga kewajipan sebagai muslim. Kelengkapan dan kemudahan untuk beribadah disediakan bagi membantu para hadirin menunaikan yang fardhu.

  1. JUALAN ARAK DILARANG SEPANJANG PERLAWANAN BERLANGSUNG

Presiden FIFA, Gianni Infantino mengumumkan jualan arak adalah dilarang di dalam stadium kerana ia merupakan arahan pihak penganjur di Qatar. Sebenarnya ramai penyokong bukan Islam tidak bersetuju dengan perintah tersebut, tetapi Infantino menegaskan bahawa “penonton boleh hidup tanpa alkohol sepanjang 3 jam menonton perlawanan.”

  1. MENJEMPUT DR. ZAKIR NAIK UNTUK BERDAKWAH PADA KEJUARAAN FIFA WORLD CUP 2022

Qatar telah menjemput seorang penceramah terkenal bagi memberi ceramah mengenai Islam dalam kejuaraan tersebut. Dr. Zakir membawakan topik mengenai “Perkahwinan Nabi” yang mana topik yang sama pernah dibahaskan oleh Nupur Syarma. Penyampaian Nupur telah mendapat kecaman hebat di Qatar sehingga mereka memaklumkan pada kedutaan India mengenai memo protes akan kenyataan Nupur. Itu merupakan salah satu sebab mereka menjemput Dr. Zakir Naik bagi berceramah topik yang sama.

SubhanAllah, Allahu Akbar.

Inilah kepentingan adanya pemimpin yang memahami Islam agar masyarakat dapat dipelihara daripada perkara-perkara yang boleh membinasakan. Di dalam kaedah usul fiqh ada menyebutkan:

مَا لَا يُدْرَكُ كُلُّهُ لَا يُتْرَكُ كُلُّهُ

Maksudnya: “Jika tidak dapat laksanakan semua, jangan tinggalkan semua.”

Jika Islam tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh maka jangan pula tinggalkan Islam itu sepenuhnya, tetapi buatlah mengikut kemampuan. Tak semua yang kita ingin atau suka itu baik, apabila sesuatu itu dilarang dalam Islam, maka ia pasti baik untuk kita.

Firman Allah SWT:

وَعَسٰٓى اَنْ تَكْرَهُوْا شَيْـًٔا وَّهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَعَسٰٓى اَنْ تُحِبُّوْا شَيْـًٔا وَّهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللّٰهُ يَعْلَمُ وَاَنْتُمْ لَا تَعْلَمُوْنَ

Maksudnya: “Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
(Surah al-Baqarah: 216)

Asma’ binti Harun

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts