‘Quran Sana Sini’ budayakan masyarakat dengan al-Quran

 

KUALA LUMPUR – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menganjurkan program Quran Sana Sini sebagai usaha membawa budaya dalam kalangan masyarakat untuk membaca Al-Quran di mana sahaja tanpa mengira masa.

Penganjuran daripada Biro Islamiyat Isma dengan kerjasama Pertubuhan Belia Islam Malaysia (Pembina) dan Indahnya Islam itu, turut bertujuan mendidik masyarakat membiasakan diri membaca al-Quran, sama ada menerusi aplikasi pintar ataupun membawa mashaf.

 

 

Program yang dilancarkan kali pertama hari ini di Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) adalah bersempena dengan sambutan Nuzul Al-Quran bagi tahun 1438H.

Ketua Biro Islamiyat Isma, Ustaz Omar Kassim berkata, program itu melibatkan beberapa cawangan Isma termasuk Gombak, Shah Alam, Kuala Lumpur dan Seremban.

“Semua peserta yang terlibat akan berkumpul di KL Sentral dan kemudian setiap peserta dari cawangan tersebut akan bergerak ke destinasi masing-masing sebagaimana penumpang yang lain.

“Gambar-gambar para peserta dan para penumpang lain yang membaca Al-Quran sepanjang perjalanan akan dikongsikan di pelbagai media sosial untuk ditular sebagai galakan kepada masyarakat untuk bersama membaca Al-Quran di mana jua,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

 

“Baca Quran di mana saja mereka berada, termasuk pusat membeli belah, taman, pengangkutan awam, rumah, masjid, sawah bendang dan lain-lain.

“Ambil gambar bersama Al-Quran secara berkumpulan atau selfie dan upload ke Facebook dengan hashtag #QuranSanaSini #indahnyaramadhan,” katanya.

Omar Kassim berkata, program berkenaan akan diteruskan lagi dan mengalukan sokongan daripada masyarakat termasuk individu berpengaruh dalam menyebarluaskan kempen itu.

 

 

“Isma dan Pembina serta Indahnya Islam menyeru agar program-program untuk mendekatkan umat Melayu kita kepada al-Quran ini diperbanyakkan dan dipelbagaikan bagi mengembalikan kecintaan dan kefahaman masyarakat terhadap kitab suci yang agung ini.

“Quran Sana Sini ini adalah salah satu usaha kerdil ke arah tersebut. Pihak penganjur mengucapkan penghargaan dan setinggi terima kasih kepada pihak Keretapi Tanah Melayu (KTMB) atas sokongan mereka membenarkan kami menganjurkan program Quran Sana Sini yang julung kali dianjurkan ini.

“Kita berharap, sokongan dan kerjasama ini akan dapat ditingkatkan lagi pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

www.indahnyaislam.my

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts