PUTRAJAYA – Kempen World #QuranHour merupakan satu gerakan penyatuan umat Islam di seluruh dunia.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha berkata, perkara tersebut dapat dilihat menerusi perkembangan positif dari semua pihak menerusi gerak kerjanya.
“Walaupun kita sudah biasa dengan program mengaji sendiri tetapi kalau sudah dirancang dilaksanakan secara serentak kita lihat ia satu bentuk penyatuan. Lebih-lebih lagi kempen ini berlangsung di peringkat dunia,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau turut memuji pendekatan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas membudayakan al-Quran dalam kehidupan.
“Program World #QuranHour perlu disokong kerana mengajak umat Islam membaca, memahami dan menghayati al-Quran.
“Apabila program ini dijalankan, teringat saya ketika kecil dahulu kerana pada waktu itu, di setiap rumah orang membaca al-Quran dan ibu bapa mengajar anak-anak mengaji. Ia mengingatkan kembali kepada nostalgia sewaktu kecil,” katanya.
Mengulas sambutan yang diberikan terhadap kempen, Othman berkata: “Saya lihat di media sosial dan laporan media, sambutannya sangat baik. Kalau sebelum ini di peringkat nasional dilaksanakan dan sekarang di peringkat dunia. Sebagai rakyat, saya berbangga dengan usaha ini,” katanya. – Sinar Harian
www.indahnyaislam.my