Rabbaniyah dalam doa Musa AS

 

Sejak kecil kita baca doa sebelum memulakan pelajaran;

“Wahai Tuhanku cerahkanlah hatiku, mudahkanlah urusanku, hilangkanlah pelat / kekakuan dalam lidahku, agar mereka (kaum Firaun) memahami kata-kataku” – Surah Taha

Mungkin setengah daripada kita memang memahami erti dan maksud doa ini, mungkin juga ada yang sudah pun menghafaz surah ini secara seluruhnya dan menjadikan doa ini amalan harian mereka.

Walau apa jua keadaan sekalipun, barangkali tidak semua daripada kita sedar betapa besarnya rahsia dalam doa yang pendek itu.

1. Baginda AS memulakan permintaan kepada Tuhan agar mencerahkan hatinya dahulu, sebelum pergi masuk ke perkara-perkara lain. Ini adalah satu neraca kefahaman tarbawi yang seharusnya ditanggapi oleh semua duat, bahawa bekalan utama para duat dalam bertemu masyarakat adalah hati yang hidup dan disirami cahaya Allah.

Bagaimana orang yang mati dan kering hatinya mampu menyirami hati orang lain?

Apakah pula peranan duat kalau bukan membawa hati manusia menuju Pencipta ?

Kita bukan penyampai berita semata-mata, bukan pula pemberi makanan dan kebajikan semata-mata, apatah lagi penyebar fitnah dan namimah.

Kita adalah manusia yang memikul amanah dakwah dan penyambung rantaian perjuangan para anbiya’, yang menuntut agar kita menjadi manusia rabbani bagi memikul tugasan yang rabbani ini.

2. Perkara kedua pula adalah ‘mudahkanlah urusanku’.

Walaupun Nabi Musa AS adalah orang yang kuat, mampu pula menewaskan hingga terbunuh seorang rakyat Mesir yang merupakan salah seorang pengikut Firaun hanya dengan sekali pukulan, dan berbagai kisah kehebatan Nabi Musa dari sudut fizikalnya, namun baginda fahami bahawa segala kekuatan dan kemudahan adalah daripada Allah SWT.

Doa baginda adalah manifestasi kefahaman asasi dalam beradab dengan Tuhan. Sekuat dan sehebat mana pun seseorang jika tidak diizinkan Allah, pasti tidak akan berhasil.

Baginda memahami bahawa segala sesuatu yang berlaku adalah dalam genggaman Ar-Rahman. Justeru meminta sesuatu agar dimudahkan adalah satu adab yang tinggi yang mengiktiraf kedudukan manusia sebagai makhluk yang tiada daya dan upaya, serta meletakkan kedudukan Tuhan pada tempat yang selayaknya.

3. “Hilangkanlah kepelatan/kekakuan dari lidahku”.

Yang ketiga baharulah baginda berbicara perihal teknikal dan kefasihan berkata-kata. Ia adalah pelengkap kepada mesej dakwah yang disampaikan.

Apabila hati sudah hidup, iman sudah terpasak, dakwah akan lebih ditinggikan dengan mesej dan perkataan yang baik dan fasih.

Ramai yang kurang melihat kepentingan perkara ini lalu meninggalkan untuk mempelajari kefasihan berbicara hanya kerana mendakwa risalah ini tidak memerlukan manusia yang pandai berkata-kata.

Ketahuilah bahawa dakwah ini dengan cirinya yang rabbani ia juga adalah syumul dan medannya juga sangat luas.

Ia perlu diletakkan pada tempat yang selayaknya, dengan orang yang selayaknya, dan dihiasi pula dengan lidah manusia yang hebat dan mampu menawan hati para manusia.

Ada sebuah pepatah Arab menyebut ; ” Seindah-indah perkara adalah kalam yang lembut, daripada lautan yang dalam (manusia yang berilmu luas), di atas lidah lelaki yang sopan-santun.

4. “Agar mereka memahami kata-kataku”.

Apabila hati sudah disirami cahaya Allah, iman sudah teguh, lidah sudah petah dan lancar, maka mesej dakwah akan ‘difahami’.

Ya, difahami. Bukan didengari.

Ini merupakan satu lagi neraca dakwi yang perlu ditanggapi oleh para duat.

Berapa ramai daripada masyarakat sudah pun mendengar seruan dakwah ini ? Namun berapa ramai pula yang ‘faham’ dan terkesan lalu mahu mengikut saranan dakwah itu ?

Mungkin ini merupakan salah satu kelemahan kita apabila kita hanya mahu menjadikan mereka ‘dengar’ lalu kita sampaikan dengan apa cara agar ia sampai ke telinga mereka.

Kita tidak perasan bahawa isunya bukanlah suara yang tidak didengari, tapi isunya adalah hati yang tidak memahami atau tidak dibuka oleh Allah untuk memahami.

Atas sebab itulah doa ini merupakan satu susunan rabbani yang Allah rakamkan dalam Al-Quran, bukan semata-mata pemudah akal kita untuk belajar, tapi guru kita dalam berfikir, menilai, dan beramal.

Demikianlah salah satu daripada jutaan rahsia yang Allah rakamkan dalam wahyu Al-Quran buat petunjuk umat hingga akhir zaman.

Bacalah Al-Quran, perelokkanlah bacaan, tadabburlah maknanya, dan bersihkanlah jiwamu ketika meneliti setiap baris dan ayat di dalamnya.

Hanya kerana, setiap ayat yang dibaca oleh lidahmu, adalah pesanan khusus daripada Tuhan untuk dirimu.

“Adakah mereka itu tidak mentadabbur Al-Quran ? Ataupun sebenarnya hati mereka itu terkunci ?” – Surah Muhammad

Wallahua’lam

Ustaz Ahmad Syamil Md Esa

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts