Rai Hari Valentine kekal dilarang dalam ajaran Islam

PUTRAJAYA: Umat Islam di Malaysia diberi peringatan agar tidak cuba menyambut Hari Kekasih atau Valentine’s Day pada 14 Februari selaras fatwa yang ditetapkan pada 2005 lalu.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi Bayan Linnas disiarkan laman sesawang rasminya, sambutan itu adalah haram dan juga boleh menggugat akidah Islam.

“Sejarah Hari Kekasih memang pun tiada dalam Islam sebaliknya amalan, budaya dan hasrat perayaan itu mempunyai unsur agama tertentu yang bercanggah dengan syarak,” katanya.

Agensi itu turut merujuk keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia ke-71 yang bersidang dari 22 hingga 24 November 2005.

Kesemua anggota panel berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang, namun tidak ada pula hari tertentu yang direka khusus bagi meraikannya secara formal.

Justeru, muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan itu juga tidak pernah dianjurkan Islam, bahkan ‘roh’ sambutan hari tersebut ada unsur-unsur ajaran Kristian secara tersirat.

“Amalan perayaan itu turut bercampur perbuatan bebas maksiat termasuk gejala perzinaan pasangan remaja belum berkahwin yang amat bertentangan serta dilarang keras oleh Allah.

PMWP turut memberikan contoh statistik pihak berkuasa apabila berlaku lonjakan kes buang bayi pada akhir November setiap tahun susulan ramai gadis terlanjur hamil anak luar nikah.

Sehubungan itu, hukum Islam adalah jelas melarang umatnya meniru atau menyerupai cara hidup penganut bukan Muslim berdasarkan banyak hadis Rasulullah SAW terhadap isu ini.

Berdasarkan pengalaman pihak jabatan agama Islam negeri-negeri pada tahun sebelumnya, ramai belia Muslim meraikan Hari Kekasih dengan perbuatan haram ditegah ajaran Islam.

Ini termasuk berdua-duaan di tempat sunyi selain berkhalwat di hotel bajet sebelum mereka terjebak kancah melakukan persetubuhan haram kononnya demi atas nama cinta yang abadi.

“Justeru, PMWP menyarankan generasi muda agar mengelakkan perkara sedemikian kerana cinta bukan dinilai berdasarkan seks sahaja sehingga rosak masa depan sendiri,” katanya.

Bahkan ujar agensi itu, mereka sepatutnya mengekang nafsu tersebut dengan cara yang halal dan tertib iaitu bertemu keluarga untuk berbincang mengadakan pernikahan secara sah. –UTUSAN ONLINE

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts