Jadikan Ramadhan bulan perubahan

Keep-Calm-And-Ramadan-Kareem-768x432

 

Bulan Ramadan yang ditunggu-tunggu semakin hampir, bulan yang istimewa buat orang beriman. Para Sahabat ra tidak sabar menunggu kedatangan bulan yang mulia ini bahkan merinduinya. Apabila berakhir bulan Ramadhan pula, mereka bersedih di atas pemergiannya. Mengapa tidak, bulan inilah yang dijanjikan oleh Rabbul alamin dengan seribu satu ganjaran daripada-Nya.

Sabda Rasulullah, ‘Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh bani Adam akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus kali ganda. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: “Kecuali amalan puasa. Amalan puasa adalah untukKu dan Aku sendiri yang akan membalasya.” [1]

[Hadis Riwayat Muslim]

Rasulullah saw bersabda : Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, terampunlah dosanya yang telah lalu” [2]

[Hadis Riwayat AlBukhari]

Kita hendaklah yakin bahawa setiap kurniaan Allah buat kita bukanlah sesuatu yang sia-sia atau tidak mempunyai sebab. Nikmat dan kurniaan ini penuh rahsia dan hikmah. Terdapat banyak hadis lain yang menerangkan tentang ganjaran oleh Allah buat hambaNya yang beramal soleh pada bulan Ramadan. Bulan Ramadan ibarat ganjaran buat seorang pekerja daripada tuannya. Dia bekerja sama seperti waktu lain, akan tetapi ganjarannya dilipatgandakan. Dengan adanya bonus tersebut, para pekerja bukan sahaja melakukan kerjanya dengan lebih baik, akan tetapi mereka juga menambah kuantiti kerja mereka kerana mengetahui ganjaran di sebaliknya.

Inilah antara keistimewaan bulan Ramadan. Bulan penuh ganjaran yang menjadi penolak seseorang untuk menjadi hamba yang lebih baik. Bulan Ramadan juga dinamakan sebagai bulan perubahan atau dalam bahasa arabnya, syahru taghyir.

Saban tahun umat Islam melalui madrasah ini, tetapi kita lihat keadaan kita seolah-olah masih berada di takuk yang lama. Jika begitu, adakah benar Ramadan bulan perubahan? Jawapannya terletak pada diri kita sendiri. Allah telah menyediakan kita sebuah madrasah selama 30 hari, beserta suasana yang membantu untuk berlumba-lumba menjadi insan yang lebih baik. Terpulang pada kita sebenarnya, adakah kita rela dan menawarkan diri untuk menjayakan misi ini ataupun tidak.

Keadaanya seperti sebuah sekolah asrama yang menyediakan jadual. Paginya dimulakan dengan qiamullail diiringi solat Subuh berjemaah dan bacaan mathurat. Malamnya diakhiri pula dengan bacaan alMulk dan solat witir. Ganjaran akan diberi bagi mereka yang mengikuti jadual tersebut dengan baik manakala denda pula bagi mereka yang melanggar aturan tersebut. Fikirkan, adakah semua pelajar akan mengikuti peraturan tersebut?

Maka begitu juga dengan bulan Ramadan. Sebenarnya yang menjayakan bulan perubahan ini ialah diri kita sendiri. Maka hendaklah kita rancang perubahan kita sepanjang berada dalam madrasah ini, supaya setiap saat dan ketika, kita menjadi insan yang baru, tidak seperti kita yang dahulu.

Antara cara yang boleh membantu kita berubah adalah dengan mentadabur (merenung) ayat Al-Qur’an.  Kebiasaannya pada bulan Ramadan, kita cuba menghabiskan bacaan 30 juzu’ namun adakah kita mentadabur ayat-ayatNya? Mungkin kita boleh lakukan sedikit kelainan dalam Ramadan kali ini. Selain menghabiskan bacaan 30 juzu’ Al-Qur’an, kita tadabur bersama ayatNya. Daripada ayat tersebut, cuba muhasabah diri, adakah kita melaksanakan perintahNya dan menjauhi larangan-nya.

Sebagai contoh, pada 1 Ramadan, kita baca dan tadabur juzu’ 1, kita dapati dalam surah Al-Baqarah terdapat kisah Nabi Adam diturunkan ke bumi dan bertaubat kepada Allah. Kita insafi diri akan kurangnya taubat kita dan meletakkan taubat sebagai syarat amal harian kita. Pada 2 Ramadan pula, kita akan membaca sepotong ayat tentang makanan yang halal dan baik. Maka kita berusaha untuk memakan makanan yang halal dan juga baik untuk kesihatan diri. Apatah lagi di bumi Eropah ini, begitu banyak makanan berunsur syubhah yang perlu dijauhi. Begitu juga makanan yang kandungan gulanya tinggi, MSG seperti coklat dan jajan. Begitu juga dengan hari seterusnya, membaca dan tadabur ayat al-Qur’an diiringi dengan target untuk berubah. Ayat al-Qur’an itu tidaklah hanya akan melalui bibir kita sahaja tanpa diiringi perubahan pada diri.

Dalam bulan Ramadan ini, ketika Allah menyediakan pelbagai nikmat buat kita, alangkah ruginya bagi mereka yang keluar daripada madrasah Ramadan (sekolah Ramadan) tetapi tidak berubah dan tidak mendapat pengampunan daripada Allah Azza wa Jalla.

Dalam sebuah hadis daripada Jabir bin Abdullah ra, sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam suatu ketika naik ke atas mimbar. Ketika baginda menaiki satu anak tangga, baginda berkata ((Amin)). Kemudian baginda menaiki anak tangga kedua, baginda berkata  ((Amin)). Kemudian baginda menaiki anak tangga ketiga dan berkata ((Amin)). Lalu mereka (sahabat ra) berkata: “Wahai Rasulullah, kami mendengar anda berkata ((Amin)) sebanyak tiga kali. Baginda lalu berkata, “Ketika aku menaiki anak tangga pertama, malaikat Jibril datang dan berkata: ‘Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya (oleh Allah )’, maka aku berkata : ‘Amin’. Kemudian Jibril berkata lagi: ‘Celaka seseorang yang kedua ibu bapanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi itu tidak memasukkan dia ke syurga’ maka aku katakan, ‘Amin’“. Kemudian Jibril berkata lagi: ‘Hai Muhammad celaka seseorang yang jika disebut nama engkau namun dia tidak berselawat kepadamu’ maka aku katakan, ‘Amin’.” [3]

[Hadis Riwayat AlBukhari]

Akhir kalam, gunalah bulan perubahan ini dengan semaksimum mungkin. Berusahalah sedaya upaya untuk berubah pada bulan Ramadan ini, tapi jangan pula hentikan usaha ini selepas berakhirnya bulan Ramadan. Kerana yang ingin kita capai ialah menjadi manusia Rabbaniyyun, bukannya Ramadaniyyun.

Ustazah Zahra’ Zainurrashid

* Ustazah Zahra’ Zainurrashid merupakan graduan Universiti Yarmuk Jordan dalam bidang Usuluddin. Kini menetap di Sheffield dan merupakan salah seorang ahli Jawatankuasa Pusat ISMA Eropah.

Sumber: http://www.ismaeropah.com/mari-jadikan-bulan-ramadhan-bulan-perubahan/

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts