- Dalam Islam, semangat cintakan negara bukanlah suatu perkara yang dilarang. Sejarah Nabi sendiri membuktikan bahawa Rasulullah ﷺ adalah wargenagara yang amat menyayangi Mekah, tanah tumpah darah Baginda.
- Ketika dalam perjalanan hijrah meninggalkan Mekah, Baginda ﷺ telah melalui satu kawasan yang dinamakan Juhfah. Ia adalah sempadan dibahagian utara negeri Mekah. Di sinilah Baginda memaling memerhatikan Mekah lalu bersabda:
ما أطيَبُكِ مِن بلدٍ، وما أحبُّكِ إلَيَّ، ولولا أن قومَكِ أخرَجُونِي مِنكِ ما سكَنتُ غيرَكِ
“Aku tidak temui negeri yang lebih baik dari engkau (wahai Mekah), dan tidak ada negeri yang lebih aku sayangi dari Mekah. Kalaulah bukan kerana kaummu (iaitu Quraysh) telah menghalauku, aku tidak akan tinggalkan negeri ini.”(HR al-Tirmizi).
- Sifat cintakan tanahair ini dilihat berlaku secara konsisten setelah Rasulullah ﷺ berhijrah ke Madinah. Baginda bersungguh membangunkan Madinah, membentuk suasana harmoni dikalangan semua kaum serta menyemaikan rasa cintakan Madinah.
- Perkara ini dapat difahami melalui doa yang pernah dibacakan oleh Baginda ﷺ yang menyatakan:
اللهم حبِّبْ إلينا المدينةَ كحُبِّنا مكةَ أو أشدَّ
“Wahai Tuhan kami, lahirkanlah rasa cinta kami kepada Madinah seperti mana kami mencintai Mekah.” (HR al-Bukhari).
- Malah lebih menarik lagi apa yang pernah disaksikan sendiri oleh Saidina Anas bin Malik iaitu pembantu Rasulullah. Saidna Anas pernah bercerita:
“كان رسول الله إذا قدم من سفرٍ، فأبصر درجات المدينة، أوضع ناقتَه – أي: أسرع بها – وإن كانت دابة حرَّكَها”
“Sesungguhnya Rasulullah itu, sekiranya Baginda pulang dari satu perjalanan yang jauh, apabila sampai sahaja di Madinah dan ternampak anak-anak tangga Madinah, (atau dinding-dinding rumah di Madinah) Baginda akan menggesa untanya supaya berjalan cepat, seakan-akan rindu untuk sampai di Madinah.” (HR al-Bukhari).
- Ketika menghuraikan hadith ini, al-Imam Ibn Hajar menjelaskan bahawa, sikap Rasulullah ﷺ seperti yang dinukilkan oleh Saidina Anas ini memberikan kepada kita gambaran bahawa tidak salah mencintai nagara apatah lagi tempat tersebarnya dakwah Islam. Kata Ibn Hajar:
وفي الحديث دلالة على فضل المدينة، وعلى مشروعية حب الوطن، والحنين إليه
“Dan dalam hadis ini menunjukkan mengenai kelebihan Madinah, dan keharusan mencintai nagara dan sayang kepadanya.” (Fathul Bari)
- Namun apa yang harus kita lakukan andainya kita mencintai negara kita? Berdasarkan hadis Malik ibn al-Huwairith, kita digalakkan untuk mengajar dan menyebarkan kebaikan dalam masyarakat andai kita menyayangi negara ini.
- Jauhkan negara ini dari unsur kejahatan seperti rasuah dan pecah amanah dan selamatkan negara ini dari pemikiran yang merosakkan seperti pemikiran liberal.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM