- Ada dalam kalangan kita yang mencadangkan agar mata pelajaran Pendidikan Islam perlu dimansuhkan dari silibus teras kerana ia bukanlah satu subjek yang asas. Biarlah anak-anak kita belajar mata pelajaran yang penting seperti matematik dan sains sahaja.
- Sebenarnya corak pemikiran sebegini menampakkan cara berfikir generasi terkini yang mula melihat agama bukanlah perkara asas yang perlu diterapkan dalam jiwa anak-anak. Pada hakikatnya, Rasulullah ﷺ sangat menekankan pendidikan Islam terutama perkara aqidah seorang Muslim.
- Al-Imam Ibn al-Qayyim menggambarkan bahawa seawal kelahiran anak kecil itu lagi kita telah dianjurkan untuk membisikkan azan ditelinga mereka. Lafaz-lafaz tauhid yang menerobos telinga mereka menggambarkan betapa penerapan nilai aqidah perlu diterapkan sejak anak kecil itu lahir ke dunia lagi. (Tuhfah al-Maudud)
- Baginda Nabi ﷺ juga dilihat mengajar anak-anak tentang perihal aqidah sejak mereka kecil. Al-Imam al-Bukhari merekodkan bagaimana Nabi ﷺ menggunakan pendekatan ‘casual’ dalam mendekati Ibn Abbas (seorang budak kecil) dengan kefahaman aqidah. Rasulullah ﷺ dikatakan mengajar Ibn Abbas tentang perkara aqidah ketika Baginda ﷺ menunggang tungangannya bersama Ibn Abbas. Sabda Nabi ﷺ:
يَا غُلَامُ, إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ: احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ, احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ, إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ, وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ,
“Wahai anak! Sesungguhnya aku ajarkan kepadamu beberapa perkara. Jagalah Allah, maka Allah akan memelihara engkau. Sekiranya engkau ingin meminta sesuatu, maka mohonlah bantuan dari Allah!” Lihatlah, betapa anak kecil ini sudah mula diberikan didikan oleh Nabi ﷺ dengan perkara aqidah.
- al-Imam al-Bayhaqi merekodkan bahawa Rasulullah ﷺ berpesan kepada Ibn Abbas dan Ibn Amru (riwayat Ibn al-Sunni), bahawa perkataan pertama yang seharusnya diajarkan kepada anak kecilmu adalah kalimah tauhid. Sabda Nabi ﷺ kepada Ibn Abbas:
افتحوا على صبيانكم أول كلمة لا إله إلا الله ولقنوهم عند الموت لا إله إلا الله
“Ajarkanlah atau jadikanlah perkataan pertama pertama anak kecilmu perkataan Lailahaillah. Dan ajarilah mereka saat kematian mereka juga perkataan Lailahaillah. (Shuab al-Iman)
- Penerapan nilai tauhid ini pada hakikatnya membentuk jati diri anak-anak Muslim agar kerangka pemikiran mereka berada dalam acuan tauhid dan bukannya sosok muslim yang berkiblatkan ideology liberal atau secular yang memisahkan elemen agama.
- Benar, kita ingin melahirkan lebih ramai doktor dan engineer. Namun, kita bukan sekadar ingin melahirkan tenaga pakar yang mengejar dunia semata-mata malah kita perlukan professional yang berjiwa Islam yang mempunyai visi akhirat. Muslim berjiwa tauhid akan menolak elemen yang rosak terhadap diri, masyarakat dan negara dan mengangkat Islam sebagai tunjang kehidupan di negara ini.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam: